Home Nasional Teresa dakwa persatuan baharu sukar buka akaun bank

Teresa dakwa persatuan baharu sukar buka akaun bank

Teresa Kok

 

KUALA LUMPUR – Teresa Kok mendakwa menerima banyak aduan daripada persatuan-persatuan baharu yang telah mendapat kelulusan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) menghadapi masalah untuk membuka akaun di bank-bank tempatan.

Masalah ini telah wujud sejak beberapa tahun yang lepas khususnya selepas berlakunya skandal 1MDB.

Ahli Parlimen Seputeh itu berkata, ia menjadi lebih serius sekarang kerana lebih sekatan dan penangguhan dikenakan oleh pengurusan bank terhadap persatuan yang memohon pembukaan akaun bank.

”Ramai pemegang jawatan persatuan berkata permohonan membuka akaun di bank ditangguh lama tanpa diberi apa-apa alasan oleh pihak bank, walaupun mereka telah melalui proses permohonan dan siasatan latar-belakang yang rumit oleh pihak
bank.

”Penangguhan kelulusan akan menjadi lebih lama sekiranya jawatankuasa persatuan berkenaan mempunyai individu yang dikatakan terdedah dengan politik. Pegawai-pegawai bank yang saya temui tidak dapat memberi alasan yang munasabah kepada saya tentang sebab penangguhan pembukaan akaun bank mereka.

”Ada di antara pengurus bank berkata mereka bimbang persatuan yang memohon akan gunakan akaun bank mereka untuk melakukan jenayah seperti “pengubahan wang haram” dan diambil tindakan oleh Bank Negara, seperti dalam kes 1MDB,” katanya dalam kenyataan di sini.

Kok berkata, bank-bank tidak harus mengambil-alih peranan polis ataupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk memantau aktiviti kewangan persatuan dan malah sengaja menangguhkan permohonan akaun bank mereka tanpa alasan.

“Bank-bank tempatan telah menghendaki individu, syarikat dan persatuan melaporkan kepada pengurusan bank sekiranya terdapat transaksi wang tunai yang melebihi RM25,000 sejak beberapa tahun yang lepas. Dasar ini telah cukup mencegah aktiviti “pengubahan wang haram” dan bank tidak harus sengaja menangguhkan permohonan akaun bank baru oleh persatuan tempatan.

”Keengganan bank meluluskan akaun baru yang dipohon oleh persatuan-persatuan bukan sahaja tidak dapat mencegah aktiviti kewangan haram seperti pengubahan wang haram, tetapi sebaliknya ia akan menyumbang kepada ketidaktelusan pada persatuan-persatuan kerana ia akan menyebabkan banyak persatuan terpaksa menggunakan akaun bank persendirian  untuk mengendali aktiviti kewangan mereka, termasuk pengutipan dan pembayaran wang bagi pihak persatuan,” ujarnya.

Lantaran itu, Kok menyeru Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz memandang serius tentang masalah yang dihadapi oleh persatuan-persatuan ini dan mengambil langkah yang wajar untuk mengatasinya. – MalaysiaGazette