KUALA LUMPUR – Pengguna lebuh raya PLUS Malaysia Berhad (PLUS) disaran supaya mematuhi jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) Balik Kampung dan Pulang ke Bandar sempena perayaan Aidilfitri bermula 29 April hingga 9 Mei ini.
Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, TTA bertujuan mengagihkan trafik dan mengelakkan kesesakan daripada memasuki lebuh raya secara serentak di laluan-laluan utama lebuh raya, plaza tol dan kawasan rawat dan rehat (R&R), sekali gus mengurangkan kesesakan.
Menurutnya, PLUS menjangkakan dua juta kenderaan iaitu peningkatan sebanyak 25 peratus berbanding 1.6 juta kenderaan sehari yang menggunakan lebuh raya memandangkan ini adalah kali pertama selepas dua tahun menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Jadi, kami menggesa dan menasihatkan pelanggan lebuh raya untuk mematuhi jadual perjalanan TTA yang dikeluarkan bagi merancang perjalanan Balik Kampung dan Pulang Ke Bandar,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Bagi perjalanan dari Lembah Klang untuk balik kampung beraya pada 29 April hingga 2 Mei ini yang menuju ke destinasi lebih jauh seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara) dan Johor, pengguna dinasihatkan memasuki lebuh raya lebih awal iaitu sebelum pukul 10 pagi.
Sementara itu, bagi yang menuju ke lokasi yang lebih dekat atau ke negeri-negeri lain dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya selepas pukul 1 tengah hari.
Jadual perjalanan pulang ke bandar untuk kembali ke Lembah Klang pada 5 hingga 9 Mei dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara), Johor dan lain-lain negeri, pengguna lebuh raya dinasihatkan agar memasuki lebuh raya sebelum pukul 9 pagi.
Menurut Zakaria lagi, berdasarkan kajian, perjalanan utnuk kembali semula ke Lembah Klang, pengguna lebuh raya dijangka mengalami tempoh perjalanan yang lebih panjang sekiranya mereka memilih untuk tidak mematuhi jadual TTA.
“Pengguna lebuh raya dari Utara ke Lembah Klang, mereka dijangka mengalami tempoh perjalanan sehingga 10 jam atau dua kali lebih panjang daripada purata tempoh perjalanan sekiranya memasuki lebuh raya selepas pukul 9 pagi.
“Bagi tempoh perjalanan dari Selatan ke Lembah Klang pula ia bakal mencecah sehingga tujuh jam atau dua kali lebih panjang berbanding purata tempoh perjalanan sekiranya memasuki lebuh raya pada masa yang sama iaitu selepas pukul 9 pagi,” ujarnya.
Dalam pada itu, PLUS turut menasihati penggna supaya mematuhi peraturan lalu lintas, memandu dengan berhemah dan pastikan kenderaan dalam keadaan baik supaya selamat sampai ke destinasi.
Pengguna boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi Twitter @PLUSTrafik, Aplikasi PLUS, talian PLUSLine 1800-88-0000, Chatbot PUTRI, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih serta mengikuti laporan trafik terkini menerusi siaran-siaran radio utama negara. – MalaysiaGazette