Home Nasional Polis Johor tingkatkan tahap keselamatan sempena Aidilfitri

Polis Johor tingkatkan tahap keselamatan sempena Aidilfitri

Kamarul Zaman Mamat (kiri) ketika melakukan pemakaian pangkat kepada Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri yang baharu, Rahmat Ariffin hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Polis akan meningkatkan penguatkuasaan tahap keselamatan sempena musim perayaan  Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi terutama selepas pembukaan semula sempadan antarabangsa pada 1 April lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat  tidak menolak kemungkinan berlaku peningkatan aktiviti jenayah dalam tempoh musim perayaan itu nanti.

Untuk itu, pemilik kediaman dinasihatkan menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya berhasrat untuk meninggalkan kediaman masing-masing untuk balik kampung.

“Pemilik kediaman boleh menggunakan dua kaedah untuk memaklumkan polis, satunya menerusi aplikasi atas talian manakala satu lagi dengan mengisi borang di Balai Polis berhampiran.

“Tetapi saya nasihatkan cara yang lebih baik adalah anda pergi sendiri ke balai berhampiran kerana secara tidak langsung boleh mengeratkan lagi hubungan penduduk dan polis dengan berkenalan antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri antara Senior Asisten Komisioner, Dzulkhairi Mukhtar dan Asisten Komisioner Rahmat Ariffin hari ini.

Bagaimanapun ketika ditanya mengenai situasi kesesakan jalan raya bandar raya ini, beliau menegaskan, ia masih terkawal walaupun terdapat peningkatan jumlah kenderaan mendadak pada ketika ini.

Orang ramai juga diminta untuk sentiasa menyusun jadual perjalanan mereka bagi mengelakkan insiden tidak diingini.

Dalam pada itu, pihaknya turut membekukan cuti pegawai dan anggota dalam tempoh sambutan Hari Raya Aidilfitri di mana hanya sekitar 10 peratus daripada hampir 10,000 pegawai dan anggota dibenarkan bercuti.

Manakala, cuti bagi pegawai dan anggota trafik pula dibekukan kecuali dalam keadaan-keadaan tertentu, katanya.-MalaysiaGazette