KUALA LUMPUR – remaja perempuan sindrom down dikenali sebagai Bella yang didakwa didera dan diabaikan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali telah mendapat perhatian seluruh rakyat Malaysia.
Tidak ketinggalan, penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza turut bersimpati dengan apa yang berlaku kepada adik Bella dan berharap Bella diadili dengan sebaik-baiknya.
“Sebagai manusia yang ada hati dan perasaan, apa yang berlaku ini sangat mengganggu, bukan sahaja saya dan para ibu tetapi seluruh masyarakat yang menonton (yang mengikuti kes Bella).
“Dari mana sekalipun mereka, sudah tentu sifat kemanusiaan itu tercabar apabila terjadinya macam ni. Tambah pula, adik Bella ini Orang Kurang Upaya dan diperlakukan sebegitu.
“Saya tidak boleh nak tengok lama, kasihan. Kita sebagai ibu yang ada anak. Jadi apa yang berlaku kepada Bella tu, kita boleh rasa.
“Kalau kita bukan seorang ibu pun, kita tengok tu, kita pasti ada rasa sifat kemanusiaan tu.
“Saya harap dia diadili sebaik-baiknya, seadil-adilnya. Sebab adik Bella ni insan istimewa. Dia sudah istimewa di mata Allah pun. Kenapa kita sebagai hamba Allah pun nak buat macam tu. Saya harap dia diadili sebaik-baiknya,” katanya.
Siti Nurhaliza ditemui pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) Antara Binary University Dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza di sebuah hotel di Bandar Utama, kelmarin.
Siti dilantik sebagai duta Binary University.
Dalam masa yang sama, Siti mengaku lebih selesa mengikuti perkembangan kes Bella berjalan dengan sendiri.
“Sebab itu saya tidak buat apa-apa statement. Saya suka lihat, dengar dan tengok perbicaraan berjalan dengan sendiri.
“Apa-apa pun, sudah tentu adik Bella ini insan yang tidak berdosa pun,” jelasnya lagi.
Terdahulu, kes Bella ini turut mendapat perhatian isteri Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) iaitu Che Besar Puan Khaleeda yang akan melakukan sehabis baik demi menuntut keadilan terhadap remaja istimewa itu.
TMJ juga menawarkan khidmat peguamnya secara percuma bagi menjalankan arahan memerhati (watching brief) bagi kes penderaan remaja orang kurang upaya (OKU) sindrom down yang dikenali sebagai Bella. – MalaysiaGazette