MELAKA – Polis tidak akan mengadakan sekatan jalan raya (SJR) di semua pintu masuk utama ke negeri ini sepanjang musim cuti Aidilfitri bagi mengelak berlaku kesesakan luar biasa.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintenden Amran@Mohamad Zaki Omar berkata, jaminan itu bagi memastikan kira-kira 120,000 sehari kenderaan yang masuk ke negeri ini bergerak lancar.
Bagaimanapun menurutnya, jaminan itu bergantung kepada keperluan sekiranya berlaku kes jenayah yang memerlukan polis melindungi keselamatan dan menjaga ketenteraman awam.
“Dengan kemasukan 100,000 hingga 120,000 kenderaan sehari di pintu-pintu masuk tiga plaza tol, kita bimbang SJR pemeriksaan biasa ini kalau dibuat akan mengakibatkan kesesakan luar biasa.
“Kita tak nak mengganggu perjalanan warga kota pulang beraya jadi kita akan cuba elakkan SJR biasa, tapi kalau ada kes jenayah, baharulah kita buat SJR,” katanya pada Program Jelajah Op Selamat 18 PDRM Bersama Petronas di Semabok hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad Zaki berkata, sepanjang Op Selamat 18 bermula 29 April sehingga 8 Mei ini, lebih 100 pegawai dan anggota trafik akan bertugas bagi memastikan kelancaran aliran kenderaan.
“Ini termasuk pasukan khas ‘Jammed Squad’ terdiri daripada lima anggota termasuk seorang pegawai yang akan menguraikan kenderaan di lokasi yang sering belaku kesesakan kenderaan.
“Antaranya adalah di kawasan Bangunan Merah, pusat bandar dan laluan masuk selepas plaza tol,” katanya.
Dalam perkembangan lain beliau berkata, kes kemalangan maut di negeri ini terus mencatatkan peningkatan sebanyak 50 peratus dalam tempoh tiga bulan sejak Januari lalu.
Katanya, sebanyak 48 kes direkodkan sehingga Mac, berbanding 32 kes dalam tempoh sama pada tahun lalu.- MalaysiaGazette