ALOR GAJAH – Seorang wanita ditemukan mati dengan empat kesan kelaran di Jalan Besar Felda Menggong Hutan Percha, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, mayat wanita berusia 45 tahun itu ditemukan dalam sebuah kereta jenis Perodua Kenari dipercayai bunuh diri.
Menurutnya, kejadian disedari orang awam yang menghubungi Balai Polis Hutan Percha memaklumkan terdapat sebuah kereta diletakkan berhampiran pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersama wanita berkenaan pada kira-kira pukul 1.30 petang.
“Pihak forensik bersama pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah dan ketua polis balai telah hadir ke lokasi dan siasatan awal menjumpai sebilah parang dipercayai digunakan oleh si mati yang beralamat di Machap Baru.
“Pemeriksaan lanjut pada badan wanita berusia 45 tahun itu menjumpai empat kesan dikelar di bahagian tangan kanannya dipercayai dikelar sendiri oleh si mati,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Arshad, polis turut menjumpai kad pengenalannya dan hasil temubual dengan adik wanita terbabit, kakaknya itu bekerja sebagai kerani dan mempunyai masalah kesihatan.
Arshad berkata, mayat telah dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat pukulĀ 9 pagi ini bagi mengetahui punca kematian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.- MalaysiaGazette