Home Seni Hidup 4,000 anak yatim, tahfiz, OKU dan warga emas dirai Malik Streams

4,000 anak yatim, tahfiz, OKU dan warga emas dirai Malik Streams

Shahidan Kassim ditemani Ketua Pengawai Eksekutif Malik Streams, Datuk Abdul Malik menyerahkan sumbangan kepada anak-anak yatim di majlis Infak Ramadan 2022 di ibu negara malam tadi.

KUALA LUMPUR – Syarikat Malik Streams Corporations Sdn. Bhd hari ini telah meraikan serta menghulurkan bantuan kepada 4,000 orang yang terdiri daripada anak-anak yatim, pelajar tahfiz, golongan kurang upaya dan warga emas.

Mereka dirai pada Majlis Sumbangan Aidilfitri dan Berbuka Puasa Infak Ramadan 2022 di ibu negara malam tadi.

Ia merupakan kali ke-15 semua anak-anak asnaf serta insan yang kurang bernasib baik disantuni dan dihulurkan bantuan secara tahunan.

Ketua Pegawai Eksekutif Malik Streams, Datuk Abdul Malik Dasthigeer berkata, pihaknya setiap tahun bergiat aktif dalam kerja-kerja amal membabitkan masyarakat.

“Selepas hampir dua tahun kita tidak dapat mengadakan majlis berbuka puasa akibat Covid-19 namun ia tidak melunturkan semangat kami untuk terus menyantuni anak-anak yatim dan golongan kurang bernasib baik dan menghulurkan bantuan keperluan mereka.

“Saya bersyukur kerana diberikan peluang dan kekuatan terus menyalurkan bantuan membabitkan golongan warga emas, anak-anak yatim dan ibu tunggal.

“Kerja amal ini diadakan dengan tujuan untuk mengurangkan bebanan, tekanan dan penderitaan golongan yang kurang mampu serta menzahirkan tanggungjawab kebajikan secara inklusif ke arah kesejahteraan masyarakat,” katanya.

menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan turut hadir sebagai tetamu khas memeriahkan majlis Infak Ramadan anjuran Malik Streams hari ini.

Turut hadir memeriahkan majlis berbuka malam tadi adalah Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan serta bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim.

Pada majlis sama, Malik Streams juga menghulurkan sumbangan kepada 15 rumah-rumah kebajikan dengan jumlah nilai sumbangan sebanyak RM160,000.

“Sumbangan ikhlas ini akan diberikan bagi membantu golongan-golongan yang tertentu bagi meringankan beban mereka dan menceriakan suasana Hari Raya Aidilfitri meskipun mereka dalam kesusahan,” tegasnya.- MalaysiaGazette