KUALA LUMPUR – Bekalan air di lima kawasan yang terjejas dengan bekalan air di Taman Bukit Teratai, Taman Mega Jaya, Taman Muda, Taman Pandan Mewah dan Taman Seraya dijangka pulih jam 12 tengah hari ini.
Ia berikutam kerja-kerja pembaikan paip pecah di rumah pam di Taman Muda, Cheras telah siap dilaksanakan pada jam 2 pagi tadi.
Susulan itu bekalan air telah mula disalurkan secara berperingkat-peringkat ke kediaman pengguna di lima kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air.
Pengurusan Bekalan Air Selangor berkata, tempoh masa pemulihan bekalan air kepada pengguna adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.
Menurutnya, bantuan alternatif melalui lori-lori tangki masih lagi digerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas, dengan memberi keutamaan kepada premis-premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.
Air Selangor turut menyarankan para pengguna yang telah dan akan mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.
Malah, para pengguna yang telah mendapat bekalan air diminta menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan. – MalaysiaGazette