Home Pendapat Jangan lupa bayar zakat fitrah

Jangan lupa bayar zakat fitrah

Jangan lupa bayar zakat fitrah

Tidak lama lagi kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Di dalam kegairahan kita membuat persiapan Hari Raya, jangan lah kita lupa untuk membayar zakat fitrah. Ini kerana zakat fitrah merupakan fardu ain kepada setiap umat Islam yang merdeka dan berkemampuan. Daripada Riwayat Muslim (984) Rasulullah s.a.w mewajibkan zakat fitrah pada bulan Ramadhan ke atas
manusia, satu sa’ daripada kurma atau satu sa’ daripada gandum ke atas setiap orang yang merdeka atau hamba, lelaki atau perempuan daripada kalangan orang Islam.

Di Malaysia, kadar zakat wajib yang dikenakan adalah sebanyak RM7. Kadar ini adalah berdasarkan harga beras yang majoriti rakyat Malaysia gunakan dan bersesuaian dengan harga beras super tempatan gred lima peratus hancur. Namun begitu, berdasarkan beras yang dimakan sesetengah golongan, adalah disyorkan untuk membayar zakat fitrah sebanyak RM14 atau RM21.

Kadar zakat sebanyak RM14 adalah kepada golongan yang mengunakan beras wangi, beras perang, beras ponni, beras putih import dan beras pulut. Manakala RM21 adalah golongan yang mengunakan beras Antara fadhilat utama mengeluarkan zakat fitrah, adalah menampung kekurangan ketika berpuasa. Daripada Ibn Abbas berkata “Rasulullah s.a.w menfardhukan zakat fitrah supaya denganya membersihkan jiwa orang yang berpuasa daripada perkara yang sia-sia’’.

Selain itu, Waki’bin al Jarah berkata, zakat fitrah di dalam bulan Ramadan seperti sujud sahwi di dalam solat, menampung kekurangan berpuasa sebagaimana sujud sahwi menampung kekurangan dalam sembahyang. Sebagai insan yang lemah, sudah tentu kita banyak melakukan dosa samada secara sedar atau tidak sengaja. Zakat fitrah juga dapat membantu orang yang tidak berkemampuan pada Hari Raya agar kegembiraan beraya dapat dikongsi bersama. Daripada Ibn Umar, Rasulallah s.a.w bersabda ”Kayakanlah mereka (fakir miskin) daripada meminta-minta pada hari ini (Hari Raya).

Selaras dengan perkembangan teknologi, pembayaran zakat boleh dilakukan secara atas talian (online) dengan mudah dan pantas. Hanya di hujung jari, pembayaran zakat fitrah dapat disempurnakan dengan hati yang tenang. Hampir setiap bank, majlis agama Islam negeri dan lembaga zakat, menyediakan perkhidmatan ini di dalam lawang sesawang mereka.

Pembayaran zakat secara online adalah sah kerana menurut lawan sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, pembayaran zakat tidak disyaratkan padanya akad ijab dan kabul. Syarat sah zakat adalah niat, pemilikan harta dan berlaku penyerahan dan penerimaan barang. Ini selaras dengan Mesyurat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan pada 1 April 2019 yang memutuskan pembayaran zakat secara online adalah sah.

Selain pembayaran secara atas talian, pegeluaran zakat juga boleh dilakukan di cawangan lembaga zakat, pejabat pos, kaunter bank, ejen zakat, dan amil yang dilantik. Bagi kemudahan orang ramai, selain pembukaan kaunter di masjid, kaunter zakat juga di buka di pusat membeli-belah dan tempat tumpuan orang ramai. Sambil membeli barang keperluan, boleh lah singgah di kaunter zakat untuk menjalankan kewajipan.

Akhir kalam, zakat fitrah adalah wajib ke atas umat Islam yang berkemampuan. Jangan culas membayar nya kerana terdapat banyak manfaat dan kebaikan daripada berzakat. Selain mensucikan jiwa dan diri, kita dapat membantu orang yang tidak berkemampuan. Teruskan beramal dan memohon keredaan Allah s.w.t. Moga kita semua diampunkan dosa dan ditempatkan di kalangan ahli syurga kelak.

Oleh: Prof Madya Dr Azrul Hafiz Abdul Aziz
Universiti Sains Islam Malaysia