KAJANG – Ke arah memastikan generasi yang lahir pada 2005 dan seterusnya dilindungi daripada gejala buruk rokok, Kementerian Kesihatan (KKM) nekad mengisytiharkan perang terhadap pasaran gelap dan rokok seludup bagi membasmi kesan tembakau secara menyeluruh.
Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, satu Rang Undang-undang (RUU) akan dibentangkan di Parlimen bagi larangan merokok dan menjual produk tembakau kepada generasi tersebut.
“Jangan sebab masalah penguatkuasaan, kita tiada cita-cita lebih tinggi, percayalah, jika dapat luluskan RUU ini, KKM (Kementerian Kesihatan) akan kerjasama dengan semua agensi penguatkuasa.
“Kita akan isytihar perang pasaran gelap dan rokok seludup bagi membasmi produk ini secara menyeluruh,” katanya ketika melancarkan Generasi Penamat Anti Rokok 18 (GEGAR-18), di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Seri Putra, di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.
Menurut Khairy, draf undang-undang larangan tembakau dan merokok itu kini di peringkat draf akhir.
“KKM akan ada perjumpaan dgn agensi penguatkuasaan termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan PDRM. Ini bagi melaksanakan penguatkuasaan undang-undang sekali.
“Kita akan pastikan mereka juga terlibat,” katanya. – MalaysiaGazette