Home Nasional PLUS jangka lebih 2 juta kenderaan mulai 29 hingga 9 Mei ini

PLUS jangka lebih 2 juta kenderaan mulai 29 hingga 9 Mei ini

logo plus

KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangka lebih daripada dua juta kenderaan akan menggunakan rangkaian lebuhrayanya pada setiap hari puncak antara 29 April hingga 9 Mei ini sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Pengendali lebuh raya itu berkata, semua kawasan Rehat dan Rawat (R&R) serta hentian sebelahnya kini telah bersedia untuk menerima lonjakan trafik itu.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, sepanjang musim perayaan ini, semua R&R dan hentian sebelah akan dibuka 24 jam setiap hari untuk kemudahan dan keselesaan pelanggan lebuh raya.

Di kawasan-kawasan R&R, PLUS menyediakan ratusan gerai makanan dan minuman, surau serta tandas awam yang disediakan sepanjang masa demi keselesaan pelanggan.

“Oleh itu, kami mengingatkan semua pelanggan lebuh raya yang singgah di kawasan rehat supaya mematuhi SOP Covid-19 terkini yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.

Bagi menguruskan trafik di kawasan-kawasan rehat, PLUS juga akan mendapatkan khidmat pasukan Rela.

Selain daripada itu, PLUS akan turut menyediakan tandas tambahan dan lori tangki di R&R dan hentian sebelah bagi mengimbangi peningkatan jumlah pelanggan yang singgah di kawasan-kawasan rehat ini.

“Bagaimanapun, sekiranya kawasan rehat tersebut didapati terlalu padat dan sesak sehingga memberi kesan kepada kelancaran perjalanan trafik di lebuhraya, ia mungkin terpaksa ditutup sementara dan akan dibuka semula secepat mungkin setelah keadaan kembali terkawal dan perjalanan trafik bergerak kembali stabil.

”Ketika langkah ini diambil, pelanggan lebuhraya dinasihatkan supaya terus ke kawasan rehat yang berikutnya atau berhenti di plaza tol berhampiran di mana tandas awam dan surau turut disediakan,” tambahnya.

Menurutnya, terdapat 109 buah stesen minyak beroperasi di sepanjang lebuh raya PLUS untuk memudahkan pelanggan mendapatkan makanan dan menggunakan tandas serta surau selain daripada mengisi minyak.

Bagi meraikan perjalanan Balik Kampung dan Pulang Ke Bandar, PLUS turut menawarkan kopi percuma kepada pelanggan yang singgah di kawasan rehat yang terpilih sebelum menyambung semula perjalanan mereka dalam keadaan yang lebih segar. – MalaysiaGazette