Home Nasional Polis siasat pegawai guna TikTok rakam serbuan pusat hiburan

Polis siasat pegawai guna TikTok rakam serbuan pusat hiburan

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain @ Abd Rasid.

KUALA LUMPUR – Polis sedang menyiasat rakaman video yang memaparkan seorang pegawai wanitanya melakukan rakaman secara langsung serbuan yang dilakukan ke atas sebuah pusat hiburan menerusi akaun TikTok.

Timbalan Ketua Polis Negara, Komisioner Datuk Razarudin Husain berkata, pihaknya sedang meneliti bila dan dimanakah rakaman video yang tular itu dilakukan.

“Saya sudah keluarkan arahan kepada JIPS (Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard) untuk ambil tindakan segera ke atas pegawai wanita itu termasuk memanggilnya bagi mendapatkan kenyataannya berhubung tindakan membuat siaran video TikTok secara langsung semasa operasi itu dilaksanakan.

“Kita juga ingin mengetahui motif dan tujuan sebenarnya membuat rakaman menerusi akaun TikTok miliknya,” kata beliau, hari ini.

Rakaman video berdurasi satu minit 38 saat itu memaparkan seorang wanita berpakaian seragam Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpangkat Asisten Superintendan (ASP) menerangkan tentang sebahagian skop kerjanya menjalankan serbuan dan pemeriksaan di pusat hiburan itu.

Pada Ogos 2020, PDRM mengeluarkan arahan yang melarang pegawainya memuat naik perkongsian peribadi di laman media sosial semasa berpakaian seragam di platform media sosial.

Pegawai wanita tersebut menyatakan rasa terkejut kerana video berkenaan ditonton secara langsung oleh lebih 1,400 pengikut dan mengharapkan akaun TikToknya diikuti lebih 100,000 orang.

Razarudin berkata, JIPS tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya pegawai terbabit didapati merakam video berkenaan kerana mahu menarik pengikut dalam akaun TikTok. – MalaysiaGazette