Home Ekonomi Sekatan ketat di Shanghai pacu kejatuhan harga minyak

Sekatan ketat di Shanghai pacu kejatuhan harga minyak

Gambar hiasan. foto Reuters

TOKYO – Harga minyak meneruskan kerugian pada dagangan hari ini di tengah-tengah kebimbangan berterusan sekatan berpanjangan akibat Covid-19 di Shanghai dan potensi kenaikan kadar Amerika Syarikat (AS) yangakan menjejaskan pertumbuhan ekonomi global dan permintaan bahan api.

Niaga hadapan minyak mentah Brent susut $1.90, atau 1.8%, kepada AS$104.75 setong pada 0015 GMT, manakala niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS jatuh AS$1.89 atau 1.9%, kepada AS$100.18 setong.

Kerugian penanda aras kehilangan hampir 5% minggu lepas atas kebimbangan permintaan.

“Sentimen menurun mengatasi kebimbangan mengenai bekalan global yang ketat ketika China meneruskan sekatan pergerakan di Shanghai dan pelabur bersedia untuk beberapa siri kenaikan kadar AS,” kata Hiroyuki Kikukawa, Pengurus Besar Penyelidikan di Nissan Securities.

Pelabur cuba menyelaraskan kedudukan mereka sebelum musim memandu ketika cuaca panas di AS bermula lewat Mei nanti, katanya.

”Tetapi harga minyak dijangka tidak jatuh di bawah AS$90 setong berikutan prospek kemungkinan larangan oleh Kesatuan Eropah terhadap minyak Rusia di tengah-tengah krisis Ukraine yang semakin meruncing,” katanya.

Pihak berkuasa Shanghai yang memerangi wabak Covid-19 telah mendirikan pagar di luar bangunan kediaman, mencetuskan bantahan orang ramai terhadap penutupan yang telah memaksa sebahagian besar daripada 25 juta penduduk bandar itu berada di dalam rumah.

Pengerusi Rizab Persekutuan AS, Jerome Powell telah membayangkan kenaikan kadar faedah setengah mata apabila Rizab Persekutaan bermesyuarat pada bulan depan.

Dari segi penawaran, firma tenaga AS telah menambah pelantar minyak dan gas asli untuk minggu kelima berturut-turut di tengah-tengah harga tinggi dan dorongan oleh kerajaan.

Di Eropah, Konsortium Saluran Paip Caspian Rusia-Kazakh (CPC) menyambung semula eksport penuh mulai 22 April selepas hampir 30 hari gangguan berikutan pembaikan pada salah satu kemudahan muatan utama.

Namun, beberapa penganalisis berkata, krisis semakin teruk di Ukraine boleh meningkatkan tekanan kepada Kesatuan Eropah (EU) untuk menyekat minyak Rusia dan harga boleh bergerak lebih tinggi pada akhir tahun ini.

Rusia ialah pembekal gas utama Eropah dan pengeksport minyak kedua terbesar di dunia selepas Arab Saudi.

Morgan Stanley menaikkan unjuran harga suku ketiga untuk Brent sebanyak AS$10 setong kepada AS$130 memetik “defisit yang lebih besar” tahun ini disebabkan bekalan yang lebih rendah dari Rusia dan Iran, yang mungkin mengatasi masalah permintaan jangka pendek. – Reuters (https://www.reuters.com/business/oil-prices-extend-losses-shanghai-lockdowns-hit-demand-outlook-2022-04-25/)