KUALA LUMPUR -Shoraka Digital Ventures (Shoraka DV), syarikat teknologi digital yang memfokuskan pada teknologi kewangan (Fintech) mengembangkan perniagaannya ke Indonesia dengan bekerjasama dengan PT Kennlines Capital
Indonesia (Kennlines).
Perkongsian itu menandakan usahasama niaga antarabangsa pertama oleh Shoraka DV yang akan memudahkan penawaran penyelesaian teknologi kewangan tempatan yang dibangunkan kepada pasaran serantau.
Shoraka DV ialah cabang teknologi digital Kumpulan Shoraka, yang diasaskan di Dubai oleh sekumpulan profesional dengan tumpuan perniagaan pada nasihat kewangan di rantau Asia Tenggara dan Timur Tengah.
Sejak penubuhannya, kumpulan itu telah mengembangkan aktiviti perniagaannya dalam pembinaan, hartanah, teknologi digital, pendidikan dan industri tenaga.
Kennlines ialah syarikat pemegangan pelaburan Indonesia yang memfokuskan pada infrastruktur, perusahaan, digital dan perkhidmatan nasihat.
Ia telah mentakrifkan portfolionya dalam aspek menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
Perkongsian strategik ini menunjukkan dedikasi Shoraka DV ke arah membina kepakarannya dalam industri teknologi digital.
Dengan rangkaian domestik Kennlines yang kukuh, kerjasama strategik ini akan menjadi wadah untuk Shoraka DV dalam menyediakan penyelesaian digital secara berkesan untuk memenuhi keperluan masyarakat Indonesia.
Pengasas Kumpulan Shoraka, Mohd Hasnul Ismar Mohd Ismail berkata, syarikat ini berhasrat untuk memanfaatkan kekuatan satu sama lain untuk membuka peluang pasaran di Indonesia dan membawa beberapa produknya ke pasaran Indonesia iaitu Platform Re-Rahnu (Platform Shoraka Suyula), Platform Pemfaktoran Invois (Shoraka QuickFactor) dan Platform Dagangan Komoditi Tawarruq (Shoraka Al-Amin) tertakluk kepada kelulusan domestik yang diperlukan.
Sementara itu, Pengarah Urusan SDV, Johar Amat, berkata, Shoraka DV akan bekerjasama rapat dengan rakan usahasama di Indonesia untuk membawa penyelesaian yang ditawarkan ke pasaran itu.
”Kami mungkin mengubah suai penyelesaian produk itu agar sesuai dengan pasaran tempatan dan menambah baik sistem kami mengikut keperluan rakan kongsi tempatan kami dan pasaran tempatan di Indonesia,” kata Johar. – MalaysiaGazette