KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menasihatkan orang ramai supaya membuat persiapan rapi dan menjangkakan tempoh perjalanan di lebuh raya mungkin lebih panjang kali ini terutamanya pada empat hari tol percuma iaitu 30 April, 1 Mei, 7 Mei dan 8 Mei.
Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail menjangkakan sebahagian besar daripada pengguna lebuh raya akan merebut peluang untuk menikmati faedah tol percuma ini dan menyusun jadual perjalanan balik kampung dan kembali semula ke ibu kota berdasarkan tarikh-tarikh tol percuma tersebut.
Bagi menguruskan lonjakan trafik ekoran pengumuman tersebut, PLUS mengambil segala langkah yang munasabah untuk membantu orang ramai ketika berlakunya lonjakan trafik pada keempat-empat hari tersebut.
”PLUS akan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya dan kami telah pun mengatur pelbagai persediaan rapi melibatkan aspek perjalanan di lebuhraya, di plaza tol dan juga kawasan-kawasan rehat,” kata Azman.
Menjelaskan pemberian tol percuma itu, PLUS berkata, lebuh raya yang menggunakan sistem tol tertutup (lazimnya bagi lebuh raya antara bandar), tol percuma dinikmati ketika pengguna melalui plaza tol keluar sepanjang tempoh yang ditetapkan.
Bagi membolehkan PLUS merekodkan data trafik, pengguna yang memilih untuk menggunakan kad Touch ‘n Go, mereka masih perlu menyentuh kad Touch ‘n Go mereka di lorong tol di plaza tol.
Namun begitu, tiada bayaran tol akan dikenakan atau ditolak daripada kad Touch ‘n Go tersebut.
Sementara itu, pengguna yang memilih untuk menggunakan RFID juga perlu memastikan mereka masuk dan keluar dari lebuh raya menggunakan lorong RFID sahaja.
Seperti mana kad Touch ‘n Go dan SmartTAG, tiada bayaran tol dikenakan atau ditolak daripada eWallet mereka.
Bagi pengguna kad Touch ‘n Go, mereka dinasihatkan supaya memeriksa status kad Touch ‘n Go sebelum perjalanan mereka dengan Touch ‘n Go Sdn Bhd di http://tngportal.touchngo.com.my/tngPortal/login bagi mengelakkan mereka terkandas di lorong tol yang mengakibatkan kesesakan jika menggunakan kad Touch ‘n Go yang tidak aktif dan telah dinyahaktif.
”Pada masa yang sama, kami mengambil peluang ini untuk menasihatkan orang ramai sekali lagi yang ingin bergerak masa hari-hari puncak, terutamanya pada 4 hari tersebut supaya mengikuti jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang telah dikeluarkan sebelum ini.
”Rancang perjalanan anda dengan teliti untuk mengurangkan kesesakan dan tingkatkan keselesaan ketika memandu bersama keluarga. Ini termasuklah jadual untuk berhenti rehat untuk menyegarkan diri serta makan dan minum yang secukupnya,” jelas beliau.
Pelanggan lebuhraya juga disaran supaya memuat turun Aplikasi PLUS untuk meninjau keadaan trafik terkini di lebuhraya menerusi paparan CCTV yang disediakan.
Selain itu, mereka juga digalakkan supaya menggunakan Waze atau GoogleMap untuk merancang
perjalanan mereka sepanjang musim perayaan ini.
Maklumat trafik terkini juga boleh diperolehi menerusi Twitter PLUSTrafik. – MalaysiaGazette