Home Nasional Ingkar SOP: 94 pengunjung pusat hiburan dikompaun RM94,000

Ingkar SOP: 94 pengunjung pusat hiburan dikompaun RM94,000

seramai 94 pengunjung dan seorang pemilik sebuah pusat hiburan dikompaun kerana gagal mematuhi SOP Covid-19.Ihsan IPKKL

KUALA LUMPUR – Seramai 94 pengunjung yang mengingkari prosedur operasi standard (SOP) di dalam sebuah pusat hiburan malam dikenakan kompaun oleh polis malam tadi.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Datuk Azman Ayob berkata, sepasukan pegawai JPJKK melakukan serbuan ke atas sebuah pusat hiburan di ibu negara sempena Operasi Aidilfitri lewat malam tadi.

“Hasil risikan di dalam premis mendapati pusat hiburan tersebut telah beroperasi dengan melanggar Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit PPN 4 2021 (Melakukan aktiviti terlarang dalam pub dan kelab malam) yang masih lagi dikuatkuasakan oleh kerajaan ketika ini.

“Sebanyak 94 kompaun bernilai RM1,000 telah dikenakan ke atas seramai 94 orang pengunjung di premis tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pihaknya turut mengeluarkan satu kompaun bernilai RM1,000 ke atas pemilik premis yang terlibat.

Ujar beliau, kesemua yang dikompaun berusia lingkungan antara 20 hingga 50-an.

“Siasatan awal mendapati pemilik premis tersebut gagal memastikan pematuhan SOP di dalam premis.

“Jumlah keseluruhan kompaun yang telah dikeluarkan pada serbuan lewat malam tadi adalah berjumlah RM95,000.

“Operasi seperti ini akan terus dilaksanakan bagi meminimumkan kadar jangkitan Covid – 19 yang masih tinggi ketika ini demi kesejahteraan masyarakat bersama,” katanya.-MalaysiaGazette