KUALA LUMPUR – Seperti jangkaan, Nivas Ragavan yang bertanding jawatan nombor satu Dewan Perniagaan dan Industri India Kuala Lumpur serta Selangor (KLSICCI) menang besar sebagai presiden bagi penggal 2022-2024.
Nivas yang juga mantan Setiausaha Agung KLSICCI sebelum ini berjaya meraih 306 berbanding lawannya, T. Selvam sebanyak 270 undi ketika pemilihan dewan perniagaan itu pada Ahad lepas sejurus selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-93.
Nivas sudah berkecimpung dan aktif sejak 10 tahun dalam KLSICCI dengan bergelar ahli biasa kepada Ketua Pemuda kemudian Setiausaha Agung dan kini jawatan nombor satu.
Bercakap dengan MalaysiaGazette hari ini, beliau teruja tetapi dalam masa yang sama mengakui tanggungjawabnya cukup berat.
Bagaimanapun Nivas yakin dirinya bersama-sama barisan pimpinan baharu KLSICCI bukan sahaja memiliki komitmen tinggi sebaliknya juga mempunyai pengalaman, kreativiti, berintegriti dan berpengetahuan tinggi bagi membawa pembaharuan.
“Sebenarnya untuk pengetahuan anda, pada pemilihan Ahad lepas, timbul persoalan siapakah yang menjadi pilihan ahli-ahli kita, adakah seorang calon muda berusia 41 atau calon 61 tahun penuh pengalaman.
“Saya cukup teruja dan seperti tidak percaya apabila pasukan Nivas Ragavan (NR) menang dua pertiga iaitu dari 18 calon bertanding untuk pelbagai jawatan akhirnya 12 daripada di undi. Sememangnya undian ini juga suara akar umbi yang sebenarnya mahukan perubahan.
“Manifesto yang kita bentangkan oleh pasukan NR bukan sesuatu yang retorik sebaliknya telah dihasilkan melalui kajian mendalam selain bercakap dengan pelbagai pemain industri dan ahli serta pelbagai pihak lain.
“Rasanya kemenangan kita kali ini juga sebenarnya kerana rata-rata yakin dan amat berharap manifesto itu menjadi realiti.
”Pastinya semua itu tidak dicadangkan oleh kita semata-mata untuk pegang jawatan sebaliknya untuk memastikan kegemilangan KLSICCI, kita akan gunakan masa dua hingga empat tahun untuk capai janji manifesto itu,” katanya.
Beliau berjanji akan memperjuangan kepentingan golongan usahawan India untuk ke tahap yang lebih baik terutamanya selepas pasca pandemik.
“Kepimpinan baharu ini juga akan memastikan lebih banyak engagement dengan kerajaan dan KLSCCI tidak kira kerajaan persekutuan mahu pun kerajaan negeri bagi memastikan agenda negara dan misi visi kita.
“Kita juga akan memberikan fokus lebih supaya para usahawan kita dalam mengoptimumkan revolusi industri 4.0 khasnya dalam semua aspek kerana itulah juga adalah realiti masa kini,” ujarnya.
Jelasnya, KLSICCI dengan kepimpinan baharu ini juga akan bertindak sebagai pembimbing dan mentor dalam mentransformasi belia ke arah minda membangun melalui keusahawanan.
“Untuk makluman sejak 4 tahun kebelakangan ini, KLSICCI telah mengalami perubahan drastik apabila dari ahli yang hanya 300 melonjak naik sehingga 1,000 orang. Itu yang anda lihat hari ini, rata-rata juga mahu pemimpin muda dan agresif,” katanya.
KLSICCI telah ditubuhkan untuk menyatupadukan peniaga daripada kaum India dengan visi dan misi membela dan memperbaiki masa depan komuniti ini dari aspek ekonomi namun selama puluhan tahun dengan pelbagai inisitiaf bersama agensi kerajaan mahupun negeri sentiasa dilaksanakan. -MalaysiaGazette