Home Utama Pengguna skuter elektrik atas jalan boleh dikenakan tindakan APJ

Pengguna skuter elektrik atas jalan boleh dikenakan tindakan APJ

Gelagat Orang awam menunggang e-skuter di bahu jalan sehingga membahayakan keselamatan dan pengguna jalan raya yang lain ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Taman Tasik Perdana, Cyberjaya. Foto MUHD NA'IM, 17 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Mana-mana individu yang didapati menggunakan kenderaan mikromobiliti tertentu yang telah dilarang di atas jalan adalah satu kesalahan dan boleh diambil tindakan di bawah peruntukkan Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333].

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, penggunaan kenderaan mikromobiliti adalah dilarang di atas jalan menerusi pewartaan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan (Larangan Penggunaan Kenderaan Mikromobiliti Tertentu) 2021 (kaedah), yang telah berkuatkuasa mulai 17 Disember 2021.

Jenis-jenis kenderaan mikromobiliti tertentu yang dilarang penggunaannya di atas jalan ialah moped, personal mobility devices termasuk skuter berkuasa elektrik, kuasa enjin pembakaran dalaman ataupun kuasa manusia dan personal mobility aids (PMA).

Oleh itu, semua pihak berkuasa termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diseru untuk bersama-sama mengawal selia penggunaan kenderaan mikromobiliti di dalam kawasan tadbir masing-masing.

Jabatan Pengangkutan Jalan bersama-sama Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula akan mula menguatkuasakan perintah larangan ini, tambah Ka Siong.

”Penggunaan kenderaan mikromobiliti di atas jalan adalah membahayakan bukan sahaja kepada pengguna kenderaan tersebut, malahan kepada pengguna jalan raya yang lain.

”Seperti yang telah berlaku dengan nahas basikal lajak yang telah meragut lapan nyawa penggunaan kenderaan mikromobiliti dengan percampuran dengan aliran trafik kenderaan motor lain di atas jalan akan menimbulkan risiko berlakunya tragedi yang sama.

”Walaupun tidak dilarang, penggunaan basikal hendaklah mematuhi semua peraturan-peraturan yang telah ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333] serta di bawah Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959,” katanya di sini.

Garis Panduan penggunaan basikal yang selamat juga telah dikeluarkan oleh MIROS dan boleh dimuat turun melalui laman web MOT (Kementerian Pengangkutan) dan MIROS (Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia).

Bagi basikal dengan bantuan kuasa elektrik (basikal elektrik), hanya yang memenuhi spesifikasi Malaysia Standard, MS2514: Electric Bicycles (Electric Pedal Assisted Bicycles) Specification sahaja dibenarkan digunakan di atas jalan raya, dengan mematuhi peraturan-peraturan yang sama seperti ditetapkan kepada penggunaan basikal.

Selain daripada mematuhi spesifikasi MS2514, ciri-ciri utama basikal elektrik (bertujuan membezakan dengan moped) adalah tidak mempunyai pendikit (throttle) dan mempunyai pedal bagi kayuhan yang dipasang secara kekal di badan kenderaan.

Ka Siong berkata, pihak berkuasa yang berkenaan boleh membangunkan infrastruktur jalan khusus yang menyokong penggunaan kenderaan mikromobiliti yang selamat (seperti laluan basikal) yang tidak bercampur dengan aliran trafik sedia ada. – MalaysiaGazette