Home Nasional 13 lokasi perangkap laju di Pahang

13 lokasi perangkap laju di Pahang

KUANTAN – Sebanyak 13 lokasi perangkap laju ditetapkan di 11 daerah negeri Pahang dalam persiapan menghadapi pertambahan luar biasa menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Kamarulzaman Jusoh @Mohamad Daud berkata, perangkap laju ini bagi memastikan pengguna tidak lalai dan mematuhi peraturan jalan raya dalam keghairahan orang ramai pulang beraya.

Tambahnya, perangkap laju ini bukan membebankan tetapi usaha polis memastikan pengguna jalan raya mematuhi had laju yang ditetapkan supaya pemanduan lebih selamat dan sampai ke destinasi.

”Kalau pengguna jalan raya memandu laju ingatlah bahawa kami sudah lama merancang dengan perangkap laju, jadi anda jangan lalai.

”Nasihat saya jangan jadikan diri salah seorang penyumbang nahas jalan raya dalam statistik kemalangan di negeri ini. Jangan biarkan biarkan sanak saudara menunggu kepulangan anda di kampung, lemang sudah dibakar, tapi orang tak sampai-sampai,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.

ARTIKEL BERKAITAN :

Sebanyak 15,205 saman sepanjang Op Selamat 17 di Pahang

Op Selamat: Cuti 431 polis trafik Pahang dibeku

Beliau turut menjangkakan pertambahan kenderaan luar biasa pada Aidilfitri kerana sudah dua tahun orang ramai tidak dapat balik beraya.

Oleh itu, beliau menyeru pemandu lebih bersabar untuk menghadapi kesesakan luar biasa yang dijangka berlaku.

Jelasnya, negeri Pahang merupakan laluan utama ke Pantai Timur dan dijangka jutaan kenderaan melalui negeri ini untuk ke Terengganu dan Kelantan.

Jelasnya, pelancaran Op Selamat 18/2022 sempena  Aidilfitri Tahun 2022 Kontinjen Pahang  akan diadakan pada 28 April ini di Bentong.

Op Selamat bermula 29 April hingga 8 Mei 2022 di peringkat negeri ini melibatkan seramai 431 anggota yang akan mengawal beberapa laluan utama.

Untuk rekod sebanyak 15,205 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan kepada pengguna jalan raya di Pahang sepanjang Op Selamat 17 sempena Tahun Baharu Cina selama 10 hari dijalankan.

Dalam tempoh tersebut, sebanyak 553 kes kemalangan melibatkan sebanyak 12 kes kemalangan maut dengan 16 kematian direkodkan di Pahang. – MalaysiaGazette