Home Seni Hidup Fazura belanja kakitangan beg tangan Coach

Fazura belanja kakitangan beg tangan Coach

Foto Instagram Fazura.

KUALA LUMPUR  – Aktres Nur Fazura mencuri tumpuan netizen selepas tular sebuah video memaparkan dia berbelanja puluhan beg tangan jenama mewah Coach untuk dihadiahkan kepada stafnya.

Menerusi perkongsian video TikTok oleh penyampai radio DJ Sonic, Fazura dilihat berada di butik jenama mewah berkenaan sambil ditemani suaminya, Fattah Amin.

Dalam video tersebut, Fazura atau nama lengkapnya Nur Fazura Sharifuddin, 39, sibuk menyusun dan mengagih beg-beg tersebut sebelum diberikan kepada semua stafnya terdiri daripada wanita dan lelaki.

Menerusi penerangan dalam video dikongsikan DJ Sonic, pelakon filem Dendam Pontianak itu dikatakan berhabis puluhan ribu ringgit untuk membeli kesemua beg tersebut.

“Fazura berhabis puluhan ribu ringgit untuk hargai staf. Fazura juga belanja saya beg! Terima kasih,” tulisnya.

Perkongsian berkenaan pantas menuai perhatian netizen yang rata-ratanya memuji kemuliaan hati pelakon itu kerana tidak pernah berkira menghadiahkan barangan mewah kepada pekerjanya.

Terdahulu, tudung keluarannya iaitu Tudung Fazura berjaya terjual sebanyak 80,000 helai dalam tempoh dua jam selepas dilancarkan pada Ogos tahun lalu dengan jumlah jualan dianggarkan mencecah RM2.16 juta.

Malah penjualan koleksi tudung terbaharunya, Rahmat Ramadan semakin meluas dan mendapat sambutan hangat apabila sekali lagi berjaya terjual sebanyak 200,000 helai pada Februari lalu.

Penjualan yang berlangsung secara dalam talian pada ketika itu menyaksikan Fazura berjaya meraih sebanyak RM5.4 juta hanya dalam tempoh sejam.

Ibu kepada seorang cahaya mata perempuan itu menjual koleksi tudungnya dengan harga RM27 dengan niat membantu golongan terkesan akibat Covid-19.

Malah baginya, angka 27 mempunyai nilai sentimental buat dirinya iaitu tarikh ulang tahun kelahirannya serta tarikh Fattah melamarnya. – MalaysiaGazette