KUALA LUMPUR – Orang ramai diingatkan agar sentiasa berdisplin dengan tidak mengambil mudah aspek kesihatan meskipun beberapa kelonggaran diputuskan Kementerian Kesihatan hari ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, setiap individu perlu memiliki tanggungjawab dengan sentiasa memastikan keselamatan individu lain menerusi penjagaan diri mereka.
“Kita kena sentiasa pastikan setiap orang selamat ketika kita nak buka sempadan.
“Perkara-perkara lain pun perlu dipantau secara dekat. Saya nak ucap tahniah kepada semua orang,” katanya pada sidang media selepas Majlis menandatangi Perjanjian Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama bidang pertahana dengan Republik Korea di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai beberapa kelonggaran yang diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berhubung langkah kawalan dan pencegahan Covid-19 selaras dengan Fasa Peralihan Ke Endemik hari ini.
Mengulas lanjut, Hishamuddin yang juga Pengerusi Menteri Kuartet Covid-19 berkata, pengumuman untuk membuat kelonggaran itu telahpun dibentang oleh Khairy di dalam mesyuarat Jemaah Menteri pagi tadi dengan rata-rata yang hadir gembira dengan keputusan itu.
Katanya, di peringkat kuartet pula, beliau percaya segala yang diharungi sebelum ini akan dapat diatasi dengan baik.
“Semua menteri gembila dan saya percaya bahawa dalam proses kita mentransisi ke fasa endemik ini apa yang kita buat secara berperingkat-peringkat menerusi sesuatu yang tepat dapat diterima oleh orang ramai.
” …dan saya harap apa yang diumumkan oleh Khairy akan diterima baik oleh orang ramai, lebih-lebih lagi kita nak beraya tak lama lagi dan saya harap bahawa apa yang kita lakukan kita tak ambil mudah dan tidak disia-siakan,” ujarnya. – MalaysiaGazette