Home Nasional Jawatankuasa kerja terajui diplomasi pertahanan ditubuhkan

Jawatankuasa kerja terajui diplomasi pertahanan ditubuhkan

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein hadir ke mesyuarat dua hala bersama Menteri Pertahanan Nasional Republik Korea Selatan, Suh Wook (dua kiri) di Wisma Pertahanan Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 27 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Sebuah jawatankuasa kerja antara Kementerian Pertahanan Malaysia dan Republik Korea ditubuhkan sebagai usaha untuk menerajui pelaksanaan kerjasama dalam konteks diplomasi pertahanan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Malaysia dan Korea telah mempunyai perjanjian persefahaman (MoU) bagi kerjasama pertahanan antara angkatan tentera.

Katanya, kedua-dua negara sedang berusaha ke arah MoU berkaitan industri pertahanan yang mana ia turut berkait rapat dengan Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN) yang sedang dirangka oleh Kementerian Pertahanan.

“Sebelum ini kita telah bekerjasama dengan banyak negara rakan tradisional seperti Itali, Perancis dan Amerika Syarikat.

“Hari ini membuktikan Malaysia sedang berusaha memperluaskan lagi kerjasama dengan lebih banyak negara seperti Republik Korea, Turki dan India,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis MoU antara Malaysia dan Republik Korea di Kementerian Pertahanan di sini, hari ini.

Terdahulu,  Hishamuddin mengadakan mesyuarat dua hala secara hibrid dengan rakan sejawatnya dari negara tersebut, Suh Wook.

Katanya, mesyuarat dua hala itu amat bermakna dan membawa manfaat penting kepada kedua-dua negara khususnya dalam konteks diplomasi pertahanan.

Jelasnya, usaha ke arah MoU itu telah dilaksanakan sejak tiga tahun lepas dan akhirnya ia dapat ditandatangani hari ini.

Dalam pada itu Hishammuddin berkata, MoU yang ditandatangani itu bukan sahaja akan menjadi instrumen perundangan yang akan mengukuhkan lagi kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara.

Sebaliknya, ia juga akan menjadi dokumen rujukan utama dalam interaksi, program dan aktiviti bersama antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan Angkatan Tentera Republik Korea.

“Ia perkembangan yang cukup signifikan memandangkan sebelum ini hubungan pertahanan antara Malaysia dan Korea tiada persefahaman secara rasmi sekali gus menjadi kekangan untuk meningkatkan lagi kerjasama pertahanan.

“MoU hari ini akan menjadi penanda untuk memperkukuh hubungan pertahanan dua hala dan bagi angkatan tentera kedua-dua negara bekerjasama secara lebih erat.

“Ini selaras dengan komitmen berterusan Malaysia dan Republik Korea dalam usaha meningkatkan hubungan dua hala yang sedia akrab ke tahap perkongsian strategik,” jelasnya. – MalaysiaGazette