Home Sukan Pemain kacukan Malaysia-Finland sertai latihan skuad B-23

Pemain kacukan Malaysia-Finland sertai latihan skuad B-23

Nooa Laine.

KUALA LUMPUR – Kejutan muncul dari skuad B-23 tahun negara apabila pemain kacukan Malaysia-Finland, Nooa Laine menyertai kem latihan pusat bermula semalam.

Kelibat pemain berusia 19 tahun itu dikongsikan di Facebook FAM yang mana Nooa menjadi salah satu pemain yang berpangkalan di luar negara yang mula menjalani kem latihan pusat skuad bimbingan Brad Maloney.

Nooa yang boleh beraksi di posisi pemain tengah menyerang dan ketika ini dia menyarung jersi SJK Seinäjoki dalam saingan divisyen pertama liga bola sepak Finland.

Sebelum ini, Nooa Laine mempunyai pengalaman beraksi bersama skuad B-16 dan B-17 tahun Finland dan menurut data yang diambil daripada Transfermarket, dia tampil dalam empat perlawanan dan menjaringkan satu gol.

Meskipun tidak mengetahui banyak hal mengenai Nooa, namun rata-rata peminat bola sepak tanah air menyambut baik kedatangan pemain itu dengan membanjiri laman media sosial Instagram milik Nooa.

Selain Nooa, seorang lagi pemain berpangkalan di luar negara yang menyertai kem latihan pusat skuad B-23 tahun ialah penyerang Azul Claro Numazu iaitu Hadi Fayyadh Abdul Razak.

Hadi berada dalam prestasi semasa yang baik apabila baru-baru ini tampil buat kali pertama dalam saingan J3 setelah beraksi di Jepun sejak 2018.

Teka-teki mengenai seorang lagi penyerang yang berpangkalan di luar negara iaitu Luqman Hakim turut terjawap di mana penyerang KV Kortrijk itu akan mula menyertai kem latihan pada 30 April ini.

Seorang lagi pemain yang berpotensi untuk beraksi bersama skuad muda negara, Amar Makruf terlihat samar apabila pemain itu dikhabarkan mengalami kecederaan pergelangan kaki sejak 14 April lalu dan memerlukan dua minggu untuk pulih sepenuhnya.

Amar menyertai akademi Alcorcon pada April 2021 dan dia kemudiannya diserapkan ke dalam skuad B-23 tahun yang beraksi dalam saingan Tercera División yang merupakan liga divisyen keempat dalam piramid bola sepak Sepanyol.

Selain beraksi dalam temasya Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam, skuad B-23 tahun negara juga bakal beraksi dalam saingan AFC B-23 tahun yang dijadualkan bermula pada bulan Jun ini di Uzbekistan. – MalaysiaGazette