Home Nasional Polis Melaka pantau 12 ‘jalan berdarah’ dalam Op Selamat 18

Polis Melaka pantau 12 ‘jalan berdarah’ dalam Op Selamat 18

Zainol (kanan) membetulkan topi keledar percuma yang diserahkan kepada penunggang motosikal ketika melancarkan Op Selamat 18 peringkat negeri di Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

MELAKA – Polis Melaka akan memberi tumpuan terhadap 12 jalan raya yang kerap berlakunya kemalangan di negeri ini sepanjang Op Selamat 18 bermula Jumaat ini sempena perayaan Aidilfitri.

Ketua polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata, ia masing-masing membabitkan lima jalan di daerah Melaka Tengah, empat di Alor Gajah selain tiga di Jasin.

Bagi daerah Melaka Tengah, katanya, ia membabitkan Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (Lebuh AMJ), Jalan Umbai-Sungai Udang, Jalan Tanjung Minyak- Bukit Rambai- Tangga Batu, Jalan Mufti Hj Khalil dan Jalan Sungai Udang- Selandar.

“Manakala untuk daerah Alor Gajah pula ia empat jalan terbabit adalah Jalan Rembia- Kendong, Jalan Sungai Udang- Lubuk Cina, Jalan Masjid Tanah- Bukit Sedanan dan Jalan Jelatang- Durian Tunggal.

“Fokus Op Selamat 18 akan turut diberikan di Jalan Melaka- Muar, Jalan Tehel- Bemban- Chabau dan Jalan Serkam- Kesang Tua bagi daerah Jasin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Op Selamat 18 peringkat negeri di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Ayer Keroh di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalannya, Datuk Razali Abu Samah dan Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Abu.

Mengulas lanjut, Zainol berkata, penguatkuasaan penuh akan ditumpukan bagi enam kesalahan utama untuk mengurangkan kemalangan maut.

“Ia adalah pandu laju, tidak berhenti semasa lampu isyarat merah, potong garisan berkembar, penggunaan telefon bimbit semasa memandu, potong barisan atau ‘zig zag’ selain menyalahgunakan lorong kecemasan,” katanya.