KUANTAN – Sebanyak RM 11 juta dibelanjakan sebagai modal tambahan oleh tiga agensi di bawah Kerajaan Negeri Pahang bagi menaiktaraf Kilang Wujud Wawasan Sdn. Bhd. bagi mengoptimumkan hasil buah tandan segar sawit dari ladang.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tiga agensi terlibat merupakan Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA), Kilang KOSFARM Sdn. Bhd dan Budi JS Plantation Management Sdn. Bhd.
Jelasnya, perjanjian tersebut membabitkan lanjutan 18 tahun iaitu dari 2022 hingga 2040 bagi menaik taraf kilang dan penghasilan buah sawit yang memberi manfaat langsung kepada KOSMA dan Kilang Kosfarm.
“Perjanjian pertama adalah berkenaan usahasama antara Kilang KOSFARM Sdn. Bhd dan KOSMA yang akan melibatkan perbelanjaan modal tambahan sebanyak RM11 juta.
“Manakala perjanjian kedua adalah perjanjian pelantikan Budi JS Plantation Management Sdn. Bhd. sebagai ejen pengurusan ladang milik KOSMA dengan terma yang baharu,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau hadir menyaksikan Majlis Menandatangani dua perjanjian usahasama antara tiga agensi tersebut hari ini turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.
Perjanjian itu ditandatangani oleh Pentadbir KOSMA, Zahari Abdul Aziz manakala Kilang Kosfarm diwakili oleh Ketua Eksekutif Kumpulan, Datuk Sri Kamaruddin Mohammed.
Jelas Wan Rosdy, perjanjian yang ditandatangani itu merupakan satu manifestasi bagi membuktikan komitmen KOSMA dalam merancakkan lagi industri perladangan di Pahang.
Beliau mengharapkan kerjasama tersebut membuahkan hasil dan memberi manfaat bersama kepada rakyat di negeri ini. – MalaysiaGazette