Home Nasional Tiada kesalahan jenayah dalam rakaman suara kepada ‘Datin’

Tiada kesalahan jenayah dalam rakaman suara kepada ‘Datin’

Azmi Abu Kassim

KUALA LUMPUR – Tiada sebarang kesalahan jenayah ditemui polis berhubung kes seorang individu yang didakwa menyampaikan rakaman suaranya kepada seorang individu bergelar ‘Datin’ membabitkan isu Kementerian Luar Negeri.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya telah merujuk kes berkenaan kepada kementerian itu untuk mereka menjalankan siasatan dalaman.

“Tiada kesalahan jenayah sehingga ia perlu disiasat, kita telah merujuk kepada Wisma Putra untuk siasatan dalaman,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Pada 12 April lalu, Kementerian Luar Negeri telah menjalankan satu siasatan dalaman dan laporan polis berhubung seorang individu lelaki yang didakwa menyampaikan rakaman suaranya kepada seorang individu bergelar ‘Datin’ berkaitan kementerian itu.

Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya memandang serius terhadap tuduhan tidak berasas melalui rakaman suara tular itu, yang dilihat mahu menimbulkan kekeliruan bagi kepentingan pihak tertentu.

Sebelum ini, tular audio durasi 2 minit 25 saat di media sosial berkenaan mesej seorang lelaki kepada ‘Datin’ yang dipercayai menyatakan permasalahan dalaman kementerian itu.

Isu melibatkan Kementerian Luar itu memuncak selepas dua diplomatnya di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dipanggil balik. – MalaysiaGazette