Home Utama Tidak wajib pakai pelitup muka di luar bangunan, tak perlu imbas MySejahtera...

Tidak wajib pakai pelitup muka di luar bangunan, tak perlu imbas MySejahtera – KKM

Orang awam diberi pilihan untuk tidak memakai pelitup muka di luar bangunan. Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Pemakaian pelitup muka sudah tidak lagi diwajidkan kepada individu ketika berada di luar bangunan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, penggunaan pelitup muka hanya diwajibkan kepada individu ketika berada di dalam bangunan, ketika membeli-belah dan semasa  berada dalam pengangkutan awam termasuk e-Hailing.

Bagaimanapun, pelitup muka boleh ditanggalkan semasa melakukan senaman berat dalam bangunan, ketika berseorangan,semasa makan, minum, berucap dan membuat persembahan.

Walaubagaimapun, Kementerian Kesihatan Malaysia menggalakkan pemakaian pelitup muka ketika berada di kawasan sesak, berhampiran individu bergejala dan semasa  melakukan aktiviti bersama individu yang berisiko tinggi seperti warga emas dan kanak-kanak.

Jelasnya lagi, pemakaian pelitup muka di luar bangunan  dan kawasan terbuka adalah atas pilihan tetapi amat digalakkan kerana pelitup muka mampu mengurangkan penularan jangkitan.

“Penguatkuasaan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] dan peraturan-peraturan di bawahnya akan dikenakan ke atas individu yang gagal mematuhi arahan pemakaian pelitup muka ini,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat KKM, hari ini.

Prosedur operasi standard (SOP) baharu itu, katanya telah diluluskan oleh Jemaah Kabinet dalam mesyuarat yang diadakan hari ini.

Dalam pada itu, orang ramai juga tidak diwajibkan melakukan imbasan aplikasi MySejahtera apabila memasuki premis atau tempat-tempat awam.

”Bagaimanapun, saya ingin menyeru anda semua mengaktifkan fungsi MySJ Trace untuk tujuan pengesanan kontak,” katanya lagi.

Khairy menegaskan, individu dengan status ‘high risk’ pada aplikasi MySejahtera iaitu kes positif Covid-19 dan individu di bawah arahan kuarantin kendiri di rumah (HSO) tidak dibenarkan memasuki premis.

Sehubunban itu, pihak pengurusan premis turut dikehendaki menyemak status risiko indivitu dalam aplikasi MySejahtera.

Semua kelonggaran SOP ini akan berkuatkuasa pada 1 Mei depan. – MalaysiaGazette