Home SISWA UM meterai MoU untuk program latihan pembedahan kardiotorasik

UM meterai MoU untuk program latihan pembedahan kardiotorasik

MoU itu ditandatangani Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UM Profesor Dr Yatimah Alias; presiden Kolej Diraja Pakar Bedah Edinburgh Profesor Michael Griffin; presiden Persatuan Pembedahan Torasik dan Kardiovaskular Malaysia (MATCVS) Datuk Dr Basheer Ahamed Abdul Kareem dan master Akademi Perubatan Malaysia Profesor Dr Rosmawati Mohamed.

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) menerusi Fakulti Perubatannya hari memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama tiga institut perubatan bagi menyediakan latihan berstruktur selama enam tahun dalam pembedahan kardiotorasik di Malaysia.

MoU itu ditandatangani Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UM Profesor Dr Yatimah Alias; presiden Kolej Diraja Pakar Bedah Edinburgh Profesor Michael Griffin; presiden Persatuan Pembedahan Torasik dan Kardiovaskular Malaysia (MATCVS) Datuk Dr Basheer Ahamed Abdul Kareem dan master Akademi Perubatan Malaysia Profesor Dr Rosmawati Mohamed.

Majlis tersebut disaksikan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Noor Hisham dalam ucapannya berkata MoU itu adalah tepat pada masanya bagi menangani kekurangan golongan profesional perubatan dalam kategori tersebut di negara ini.

“Malaysia mengalami kekurangan pakar bedah kardiak kanak-kanak, seperti yang berlaku di negara lain. Terkini, hanya terdapat tujuh pakar kardiotorasik sepenuh masa yang melakukan pembedahan kardiak pediatrik dan hanya terdapat seorang pakar bedah kardiotorasik kanak-kanak dihasilkan dalam tempoh 10 tahun sebelum ini di negara ini.

“Dengan pemeteraian MoU ini, Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan untuk mempunyai lebih ramai pelatih pakar pembedahan kardiotorasik yang akan dilatih dalam pembedahan kardiak pediatrik.” katanya.

MoU itu turut menyaksikan seramai 28 calon dianugerahkan Fellowship di Kolej Diraja Pakar Bedah Edinburgh dalam bidang pembedahan kardiotorasik.

Menurut Dr Noor Hisham, pada 2030, populasi Malaysia dijangka mempunyai anggaran tambahan dua juta individu berumur 65 tahun dan ke atas, dengan anggaran peningkatan 10 peratus dalam beban penyakit dan ini akan menyebabkan lebih ramai pesakit memerlukan pembedahan jantung.

“Kini dengan hanya 68 pakar bedah kardiotorasik menjalankan pembedahan kardiotorasik dewasa di Malaysia, pusat kardiotorasik KKM pada masa ini mempunyai 1,905 pesakit berdaftar sedang menunggu pembedahan setakat 31 Mac 2022.

“Bagi mengatasi masalah ini, KKM telah menjalankan beberapa strategi, termasuk penglibatan dengan universiti dan hospital swasta untuk menyelesaikan kes-kes tertunda. KKM juga sedang berusaha untuk mengukuhkan kolaborasi ini dengan menjalinkan kerjasama dengan Konsortium Hospital Universiti Awam Malaysia dalam menyediakan perkhidmatan Graf Pintasan Arteri Koronari terutama untuk pesakit kumpulan rentan,” katanya.

Pada majlis itu, Dr Noor Hisham turut melancarkan Kurikulum Kebangsaan dalam Pembedahan Kardiotorasik untuk latihan pembedahan kardiotorasik.

“Kita harus menghasilkan pakar bedah kardiotorasik yang cekap supaya para pesakit yang memerlukan pembedahan jantung, paru-paru dan dada, akan menerima rawatan terbaik untuk kondisi mereka,” katanya. – MalaysiaGazette