Home Seni Hidup BERNAS, KTMB bekerjasama sediakan bubur lambuk istimewa untuk penumpang

BERNAS, KTMB bekerjasama sediakan bubur lambuk istimewa untuk penumpang

Rozita Ahmad, Ketua Jabatan Komunikasi Korporat BERNAS bersama Mohd Zain Mat Taha, Ketua Pegawai Operasi KTMB mengagihkan bubur lambuk kepada penumpang ETS ke Ipoh semalam.

KUALA LUMPUR – Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) buat pertama kali bekerjasama menganjurkan program bubur lambuk.

Menarik tahun ini, para penumpang tren elektrik (ETS) yang mula pulang ke kampung halaman bagi meraikan Aidilfitri dibekalkan dengan bubur lambuk istimewa sebagai juadah berbuka puasa.

Lebih 2,500 pek bubur lambuk telah mula disediakan seawal jam 8 pagi untuk diedarkan kepada penumpang ETS di Stesen Kuala Lumpur dan Stesen Sentral Kuala Lumpur bermula jam 2.40 petang.

Pengarah Urusan Kumpulan BERNAS, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, program penyediaan bubur lambuk BERNAS dan KTMB merupakan kolaborasi pertama di antara kedua-dua syarikat itu.

“Buat pertama kali, gabungan kakitangan BERNAS dan KTMB telah berjaya menghasilkan lebih 2,500 pek bubur lambuk yang menggunakan beras putih tempatan dan juga beras wangi. Nikmatilah bubur lambuk istimewa kami ini sebagai juadah berbuka puasa nanti.

“Apapun dalam kemeriahan pulang ke kampung halaman masing-masing, keselamatan dan kesihatan diri jangan diabaikan. Sentiasa patuhi SOP yang ditetapkan bagi melindungi diri serta keluarga,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB Mohd Rani Hisham Samsudin berkata, gotong royong yang julung kali diadakan itu adalah aktiviti istimewa di bulan Ramadan lebih-lebih lagi ia diadakan di persekitaran stesen.

“Ini bukan sahaja dapat mengeratkan silaturrahim di antara dua organisasi, bahkan dapat berkongsi rezeki dengan penumpang yang sentiasa bersama menyokong kami.

“Kami mengucapkan selamat hari raya kepada yang meraikan, dan semoga perjalanan anda pulang dan kembali berjalan lancar, insya Allah,” katanya.

– MalaysiaGazette