GEORGE TOWN – “Sukar digambarkan dan tidak terungkap rasa syukur selepas doa saya agar dipertemukan semula dengan keluarga selepas terpisah 47 tahun lalu dimakbulkan pada Ramadan kali ini,” luah Che Putih Din.
Che Putih, 72, yang lebih mesra dengan panggilan Kak Teh dalam kalangan keluarganya berkata, tarikh 27 April 2022 menjadi detik paling bermakna dalam hidupnya apabila ditakdirkan dapat berhubung semula dengan salah seorang daripada insan yang paling dirindunya.
Jelasnya, detik manis itu lebih beremosi apabila dia dapat melihat wajah adiknya Batliyah menerusi satu panggilan video hari ini sekali gus tertunai hasratnya untuk melihat ahli keluarganya sebelum Ramadan melabuh tirai tahun ini.
“Walaupun cuma berhubung di alam maya namun sudah mengubat kerinduan saya terhadap ahli keluarga yang terpisah sejak tahun 1975.
“Saya rasa macam tak percaya dan terharu dapat bercakap dengan Batliyah yang lebih dikenali dengan nama Sofia dalam kalangan keluarga selepas terpisah sejak 47 tahun lalu.
“Selama ini, saya hanya melepaskan rindu dengan berdoa kepada Allah agar dapat bertemu semula dengan ibu ayah serta lima lagi adik beradik kandung,” katanya kepada MalaysiGazette ketika ditemui di rumahnya di Taman Lip Sin di sini, hari ini.
Artikel berkaitan:
- Air mata Ramadan, Pulanglah Che Putih usah merajuk lagi
- Sebak, 47 tahun terpisah akhirnya Batliyah dapat jejaki kakak kandung
Mencerita kehidupan selepas ‘merajuk’ dan keluar rumah ketika berusia 27 tahun, Che Putih berkata, dia dan suaminya pernah ke Kampung Ekor Kucing, Padang Serai, Kedah untuk bertemu semula dengan keluarganya namun gagal selepas mereka dihalang oleh ibunya.
“Itu merupakan kali terakhir saya menjejaki kaki ke kampung dan tidak pulang lagi kerana bimbang akan dihalang untuk bertemu ahli keluarga lagi.
“Memang saya merajuk ketika itu tetapi hati anak mana tidak rindui ibu ayah serta ahli keluarga kandung namun saya tetap meneruskan kehidupan dengan harapan suatu hari pasti kami akan dipertemukan.
“Kehidupan saya hanya bersama suami dan anak lelaki selepas kejadian itu namun setiap kali menjelang Syawal hati tetap sayu teringatkan akan ahli keluarga yang lain namun semua itu sudah terubat apabila saya dapat berhubung dengan Sofia (Batliyah),” katanya sambil menambah agak terkilan hanya semalam dia ketahui kedua ibu bapanya sudah meninggal dunia.
Tambah Che Putih, kehidupannya bersama suami bergantung penuh hasil pendapatan anak tunggalnya yang bekerja di sebuah kilang menjadi kekangan buat mereka untuk ke Jerantut, Pahang bertemu Batliyah.
“Saya tak mampu nak pergi ke sana (Jerantut) tambahan pula hidup kanser payudara tahap dua menyebabkan saya sukar untuk melakukan perjalanan jauh yang memakan masa lebih lima jam.
“Jadi saya harap sangat Sofia (Batliyah) akan datang berjumpa dengan saya dan dia janji akan ke sini selepas raya memandangkan tiket bas sudah habis terjual musim perayaan ini.
“Saya juga ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menyatukan kami adik beradik,” katanya.
MalaysiaGazette pada 12 April lalu melaporkan, seorang wanita mencari kakak kandungnya yang terpisah sejak 47 tahun lalu.
Batliyah Din, 62, menjejaki Che Putih yang dikatakan tidak pernah luput dari ingatannya.
Tanpa mengenal putus asa, wanita ini sentiasa merisik khabar di sana sini, mungkin ada yang tahu di mana kakaknya berada sekarang, masih hidupkah dia dan apakah keadaannya.
Dia pernah dimaklumkan Che Putih menetap di Pulau Pinang namun usaha menjejaki kakaknya itu gagal. – MalaysiaGazette
Video Berkaitan: