Home Seni Hidup Hasbullah terharu terima sumbangan MG Prihatin

Hasbullah terharu terima sumbangan MG Prihatin

Hasbullah Zulkifli, 50, yang menanggung penyakit buah pinggang apabila perlu kerap menjalankan dialisis bergambar ketika Program CSR MG Prihatin Ramadan 2022 di Pangsapuri Desa Tasik, Sungai Besi. Foto MOHD ADZLAN, 28 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Seorang pesakit dialisis, Hasbullah Zulkifli terharu atas sumbangan MalaysiaGazette (MG) yang mengagihkan bantuan wang tunai dan barangan keperluan hariannya di sini hari ini.

Lelaki berusia 50 tahun itu merasakan kehadiran pemberi bantuan menyerlahkan semangat rayanya kali ini.

Lebih-lebih lagi kali ini Hasbullah menyambut kedatangan Syawal berseorangan kerana anak-anaknya menyambut hari raya bersama bekas isterinya.

“Raya tahun ini agak sedih, anak saya sudah beritahu akan beraya di kampung ibunya. Tinggallah saya seorang diri tahun ini, saya reda atas pilihan mereka,” katanya ketika dikunjungi kru Program MG Prihatin 2022 di Pangsapuri Desa Tasik di sini hari ini.

Hasbullah Zulkifli, 50, yang menanggung penyakit buah pinggang apabila perlu kerap menjalankan dialisis merima bantuan ketika Program CSR MG Prihatin Ramadan 2022 di Pangsapuri Desa Tasik, Sungai Besi. Foto MOHD ADZLAN, 28 APRIL 2022.

Bagaimanapun, lelaki tetap cekal menempuh dugaan hidup dengan bergantung harap sepenuhnya kepada Allah.

“Saya hanya mampu berdoa atas dugaan ini, kadang bila duduk berseorangan, hati saya tersungkur juga. Kadang seorang diri saya dialisis tiga kali seminggu, pilu rasanya,” luahnya sambil sesekali mengesat air mata.

Mengakui banyak pihak prihatin terhadap nasibnya, Hasbullah terharu atas sumbangan MG Prihatin yang mengagihkan bantuan wang tunai dan barangan keperluan harian.

Malah, Hasbullah bersyukur apabila menerima bantuan pencen ilat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebanyak RM890 sebulan setelah terpaksa berhenti kerja.

Ketika ditanya sumber kekuatan untuk tabah melalui dugaan hidup, Hasbullah sempat berkongsi pedoman.

“Istilah sabar mengajar erti hidup buat saya. Ingatlah, segala apa yang terjadi, kita sabar. Apa rezeki yang hadir, kita bersyukur dan jika sebaliknya, kita sabar. Itulah makna kehidupan,” ujarnya. – MalaysiaGazette