Home Nasional JKM siasat jika wujud eksploitasi kes ‘adik kerepek’

JKM siasat jika wujud eksploitasi kes ‘adik kerepek’

Tangkap layar dari video yang tular

MELAKA – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka menyiasat kemungkinan wujud kes eksploitasi kanak-kanak lelaki menjual kerepek sehingga tertidur di kaki lima restoran makanan segera di Limbongan di sini seperti yang tular sejak semalam.

Pengarahnya, Burhanuddin Bachik berkata, pihaknya sedang melengkapkan siasatan terhadap kanak-kanak berusia lingkungan 11 hingga 12 tahun itu jika terdapat pelanggaran kesalahan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

Menurutnya, orang ramai diminta tidak menularkan video berkenaan sebelum membuat semakan dengan agensi berkaitan untuk mengetahui kebenaran kes berkenaan.

“Kita bimbang sekiranya apa yang ditularkan itu tidak betul, ia akan beri kesan besar kepada masyarakat, agensi kebajikan dan semua pihak seolah-olah tiada peranan dalam membantu mereka.

“Lebih buruk, jika trend penyebaran tanpa semakan ini berterusan, ianya akan membuka ruang aktiviti penipuan yang lebih besar kepada sindiket terutamanya di bulan Ramadan lebih ramai berebut menyumbang untuk mendapat ganjaran pahala lebih besar,” katanya.

Burhanuddin Bachik

Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita ketika diminta mengulas mengenai penularan empat klip video berdurasi 39 dan 43 saat dimuat naik pengguna TikTok menggunakan akaun @danielalii memaparkan kanak-kanak tersebut yang kenali sebagai Acap tertidur di kaki lima sambil membawa sebakul kerepek.

Turut disertakan dalam rakaman itu yang sehingga kini merekodkan hampir empat juta tontonan itu adalah lokasi kejadian di sebuah restoran makanan segera di Limbongan di sini.

Berdasarkan satu lagi klip video berasingan, pengguna akaun terbabit berkongsi kutipan berjumlah RM1,055.16 hasil sumbangan orang ramai melalui tabung bantuan yang dibuka.

Turut dikongsikan adalah majlis penyerahan wang bantuan terbabit berjumlah RM1,220 kepada Acap bersama sekumpulan individu dipercayai keluarganya di lokasi sama.

Pengguna akaun sama turut berkongsi klip video membuka semula tabung sumbangan kali kedua kepada ‘adik kerepek’ yang dijangka dijangka diadakan secara langsung pukulĀ  9.30 malam ini.

Mengulas lanjut Burhanuddin berkata, pemilik akaun TikTok terbabit sewajarnya membuat semakan terlebih dahulu mengenai kesahihan kisah sebenar dengan agensi berkaitan sebelum menyebarkannya.

Tangkap layar dari video yang tular

“Kita bimbang sebab trend kisah meraih simpati sebegini nampaknya berlaku peningkatan setiap kali menjelang Ramadan dan ia sebenarnya agak membimbangkan.

“Setakat ini, JKM Melaka tidak menerima laporan kes ini dan pukul 4 petang tadi, menggerakkan Pasukan Pelindungan Kanak-Kanak daerah Melaka Tengah ke lokasi untuk menyiasat dan menyelamatkan kanak-kanak tersebut sekiranya berlaku kes kecuaian,” katanya.

Tambah beliau, siasatan dan laporan lengkap juga perlu disediakan untuk mengetahui situasi kanak-kanak tersebut, sama ada dia menjadi mangsa kes eksploitasi atau keluarganya tidak berkemampuan.

“Sekiranya benar berlaku eksploitasi, ibu bapa kanak-kanak lelaki itu juga dikenakan tindakan bawa Akta Kanak-Kanak 2001 kerana cuai dalam penjagaan manakala kanak-kanak terbabit akan ditempatkan di institusi kebajikan.

“Namun jika benar mereka adalah keluarga susah dan memenuhi kelayakan JKM, bantuan sewajarnya akan dipertimbangkan termasuklah sesi kaunseling,” katanya.- MalaysiaGazette