Home Nasional Polis sedia bantu kesan saki baki pelarian Rohingya

Polis sedia bantu kesan saki baki pelarian Rohingya

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Kassim bercakap pada sidang media selepas selesai Majlis Pelancaran Op Selamat 18 Hari Raya Aidilfiri di Ibu Pejabat Balai Polis Jalan Tun HS Lee, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 28 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur bersedia  membantu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi mengesan dan menjejaki saki-baki pelarian Rohingya yang lari dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap di Pulau Pinang yang dipercayai ‘bersembunyi’ di sekitar Selayang.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, antara tindakan pihaknya adalah pemantauan di Pasar Borong Selayang atau di beberapa tempat lain.

“Kita akan cuba sedaya upaya kesan mereka yang masih belum ditangkap atau menyerah diri. Jadi itu antara tindakan yang diambil.

“Sama ada kita pergi Pasar Borong Selayang atau di tempat lain,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Op Selamat 18/2022 Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Beliau mengulas sedemikian ekoran kenyataan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud yang pihaknya tidak menolak kemungkinan tahanan etnik Rohingya itu dipercayai berada di sekitar Selayang.

Khairul Dzaimee dipetik berkata, usaha mengesan lokasi sebenar tahanan terbabit sedang dilaksanakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, mereka yang masih bebas dipercayai mahir selok-belok kawasan di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur kerana pernah bekerja dan berada di sini sebelum ini.

Khairul Dzaimee berkata, setakat ini seramai 61 tahanan masih bebas dan sedang diburu JIM.

Dalam kejadian pada 20 April lalu, seramai 528 tahanan di Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap merusuh sebelum melarikan diri dan enam daripadanya maut akibat dirempuh kereta ketika cuba melintas jalan di Kilometer 168 Lebuhraya Utara Selatan.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Lolos depot: Sebahagian 61 etnik Rohingya mungkin lari ke Selayang