KUALA LUMPUR – Ekspo Afrika 2022 yang kembali diadakan selama tiga hari bermula 15 Julai ini menyasarkan kehadiran 10,000 pengunjung dalam usaha menjadi platform kepada rangkaian jenama dari Afrika untuk mengembangkan pasaran mereka di rantau Asia.
Penganjur ekspo, My Events International berkata, ia merangkumi pameran lengkap pelbagai sektor daripada lebih 15 negara dari Afrika untuk mengambil bahagian termasuk lebih 30 negara dari Asia.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hema Kandy, Ekspo Afrika 2022 yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) itu akan turut memberi tumpuan kepada perdagangan dua hala antara dua benua, Afrika dan Asia bagi memulakan pembukaan ekonomi yang sedang pesat membangun.
“Kami menjangkakan kira-kira 200 syarikat dan 500 delegasi perdagangan akan menghadiri acara tiga hari ini dan mereka tidak sabar untuk mengadakan lebih banyak Memorandum Persefahaman (MoU) dan disaksikan oleh tetamu kehormat.
“Kami percaya Ekspo Afrika 2022 ini akan menjadi platform terpenting untuk diplomasi peringkat lebih tinggi yang berlangsung di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Ekspo itu akan dianjurkan My Events International bersama oleh Dewan Perniagaan dan Industri ASEAN (ACCI) kerjasama Dewan Perniagaan Asia Afrika yang pertama kali dianjurkan.
Majlis Menandatangani MoU antara My Events International dan Dewan Perdagangan Asia Afrika (AACC) sempena Ekspo Afrika 2022 itu berlangsung baru-baru ini.
Hadir pada majlis itu, Pengerusi AACC, RJ Liow dan Pengarah Pembangunan Perniagaan My Events International, Dailan Muhammad Ravi.
Hema memberitahu, Ekspo Afrika 2002 akan melibatkan cara seperti sidang kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif, pameran, lawatan tapak industri, perbincangan meja bulat, pemadanan perniagaan, dan sesi rangkaian antara pemilik teknologi, pihak berkepentingan, pemilik perniagaan dan badan kerajaan.
Jelas beliau, penganjur juga merancang untuk mengadakan Malam Anugerah yang berprestij bagi mengiktiraf pemimpin perniagaan semasa dan baharu muncul dari pelbagai industr, serta pameran persembahan kebudayaan dari negara yang mengambil bahagian.
“Penganjur turut akan membawa masuk penceramah dan pempamer terkemuka dari negara-negara Afrika, ASEAN, dan Asia Pasifik untuk menyampaikan pengetahuan dan pengalaman berharga mereka dalam Pertanian, Perniagaan Antarabangsa, Kewangan, ICT dan Komunikasi, Kuasa dan Tenaga, dan banyak lagi.
“Apa yang pasti, acara yang sudah bertahun-tahun tidak diadakan berikutan penularan wabak Covid-19, pasti membuat pengunjung ingin hadir untuk mengetahui apa yang ditawarkan di Ekspo Afrika 2022,” katanya. – MalaysiaGazette