KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan diminta menangani isu pencerobohan yang dilakukan China di Laut China Selatan yang dilihat semakain serius sejak kebelakangan ini.
Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan berkata, sejak 2021 pesawat pejuang China, J-20, dilaporkan berlegar di ruang udara Laut China Timur dan Laut China Selatan untuk melakukan rondaan dan latihan rutin.
“Penglibatan Amerika Syarikat (AS) melalui AUKUS (kerjasama tiga hala antara Australia, United Kingdom (UK) dan AS) menyebabkan China lebih agresif dalam mengerahkan aset ketenteraan mereka di Laut China Selatan,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Menurut Ahmad, malah Agensi Penguatkuasaan Maritim China telah menceroboh lapangan Kasawari yang terletak di pesisir perairan Malaysia yang mana ia menjejaskan kerja-kerja pembangunan minyak dan gas oleh Petronas selain rondaan 300 kapal agensi tersebut menjejaskan kegiatan penangkapan ikan di Sabah.
“Pencerobohan sempadan perairan dan ruang udara Laut Cina Selatan tidak boleh dipandang ringan oleh mana-mana pihak. Alasan China kerap kali diulang bahawa mereka sekadar menjalani latihan ketenteraan tanpa rentas mana-mana sempadan antarabangsa adalah tidak munasabah sama sekali.
“Rekod dari Laporan Ketua Audit Negara Siri 3 2018 telah memberi amaran melalui angka pencerobohan sebanyak 89 kali bermula 2016 hingga 2019,” ujarnya.
Beliau turut mempersoalkan apakah resolusi yang digerakkan Wisma Putra dan Kementerian Pertahanan untuk mengatasi tersebut dengan mendakwa Malaysia tidak mempunyai pelan mitigasi dan pemulihan terhadap krisis keselamatan negara.
Tambah beliau, Malaysia harus mengambil sikap lebih tegas dalam menggesa pihak terlibat menghentikan pencerobohan dan komited kepada rundingan damai. -MalaysiaGazette