Home Nasional Ops Hari Raya bukan cari salah pengguna trafik

Ops Hari Raya bukan cari salah pengguna trafik

Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melakukan sekatan jalan raya sempena Kick-Off Ops Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri Tahun 2022 di Tol Sungai Besi. Foto MOHD ADZLAN, 28 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2022 yang diadakan setiap tahun oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bukan bertujuan mencari pesalah trafik, sebaliknya ia bertujuan  mendidik pengguna jalan raya.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim berkata, operasi tersebut juga bertujuan membudayakan pemanduan berhemah agar dapat mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya.

“Antara tujuan utama Ops HRA ini adalah untuk meningkatkan persepsi ditangkap melakukan kesalahan atau dipanggil Perception of Being Caught (POBC) dalam kalangan pengguna jalan raya.

“Dengan pendekatan ini, pengguna trafik nampak ada pegawai beruniform bertugas, maka perasaan mereka dipantau dan diperhatikan oleh anggota penguatkuasa akan jadi lebih tinggi. Jadi, ini juga boleh kurangkan kemalangan dan kematian di jalan raya,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas mengetuai Ops HRA 2022 di Plaza Tol Sungai Besi, di sini, semalam.

Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melakukan sekatan jalan raya di lorong motosikal sempena Kick-Off Ops Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri Tahun 2022 di Tol Sungai Besi. Foto MOHD ADZLAN, 28 APRIL 2022.

Menurut Zailani, sebanyak 1,137 kenderaan diperiksa 508 kenderaan disaman kerana melakukan pelbagai kesalahan dengan 204 daripadanya didapati tiada lesen memandu dan lesen tamat tempoh dalam operasi yang dijalankan bermula jam 9 malam hingga 12 pagi itu

Tambah beliau, Ops HRA akan giat dilaksanakan terutama di 10 kawasan panas atau hotspot di sekitar Selangor yang merekodkan kadar kemalangan yang tinggi.

“Antara kawasan hotspot di Selangor yang akan diadakan operasi sebegini adalah di Lebuhraya Elite (Seafield), Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) Kota Damansara dan juga termasuk Lebuhraya Persekutuan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai mematuhi peraturan jalan raya agar selamat sampai ke destinasi masing-masing. – MalaysiaGazette