KUALA LUMPUR – Pengguna jalan raya mula mengambil peluang untuk pulang menyambut perayaan Aidilfitri pada hari ini.
Tinjauan MalaysiaGazette di Plaza Tol Jalan Duta arah utara mendapati aliran trafik mula perlahan selepas berlaku peningkatan jumlah kenderaan kira-kira pada jam 2 petang.
Menurut seorang pekerja swasta, Khaleda Zhia Hadri, dia mula bergerak dari pejabatnya untuk pulang ke kampung setelah mengambil cuti separuh hari.
“Saya sudah ambil cuti separuh hari sebab cuba bergerak awal dan elak kesesakan lalu lintas, dari pejabat terus menuju ke Perlis,” katanya kepada MalaysiaGazette di sebuah stesen minyak berdekatan Plaza Tol Jalan Duta, di sini, hari ini.
Tinjauan MalaysiaGazette bermula jam 11.30 pagi hingga 5 petang mendapati, kesesakan lalu lintas di plaza tol berkenaan dapat dikesan kira-kira dua kilometer bermula jam 3.30 petang.
Bagaimanapun, aliran trafik dilihat lancar dan terkawal di plaza tol yang sama menghala ke Kuala Lumpur.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim turut meninjau perkembangan trafik selain memberikan advokasi keselamatan kepada pengguna jalan raya.
“Hati-hati pulang ke kampung, patuhi undang-undang dan semoga selamat sampai,” katanya kepada seorang pemandu kereta di sini pada Majlis Penyampaian Beg Goodies sempena Op Selamat 18 PDRM. – MalaysiaGazette