KUALA LUMPUR – Biar pun zaman berubah, busana tradisional yakni pakaian seperti baju Melayu masih menjadi pilihan utama bagi jejaka Melayu menjelang Syawal minggu depan.
Gandingannya menambah segak dalam pakaian tradisi berkenaan tentu sekali kain samping yang biasanya terdiri daripada fabrik songket tenun baik dengan benang emas mahu pun perak.
Bagi pemilik Butik Dzulldeclassique, Zulkifli Rahmat, samping adalah wajib dipakai dengan baju Melayu sebagai pelengkap penampilan seorang lelaki.
Namun dia perlu mengakui trend anak muda yang kini gemar memakai baju Melayu hanya dengan seluar jeans.
“Memakai samping adalah wajib sebab ia pelengkap kepada baju Melayu namun hari ini, kita sudah ada banyak pilihan untuk memakai baju Melayu yang mengikut tema majlis tertentu.
“Tapi bagi saya, kalau lelaki hendak lebih kacak dan segak, pakai baju Melayu yang sedondong dengan samping,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di butiknya di Jalan Reko di sini baru-baru ini.
Sementara itu, sepanjang Ramadan ini, Zulkifli berkata, Butik Dzulldeclassique menyediakan hampir 10,000 samping kepada orang ramai dengan harga serendah RM50 hingga RM3,000.
Beliau berkata, kebanyakan samping itu didatangkan dari Terengganu selain samping yang murah dibawa masuk dari India.
“Semua samping yang dijual di sini berkualiti dan kita memang buat tempahan yang banyak untuk dijual. Kita juga sedar tidak semua yang mampu membeli samping dengan harga yang cecah ribuan ringgit.
“Namun samping yang murah tetap berkualiti dan masih boleh dipadankan dengan baju Melayu.
“Tahun ini, kita menyediakan hampir 10,000 samping yang ditempah sejak dua tahun lalu yang dibawa masuk dengan satu kontena namun tidak dapat dijual gara-gara Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akaibat pandemik Covid-19,” katanya.
Sementara itu, Zulkifli memulakan perniagaan membuat baju Melayu pada tahun 1993 sebelum menyewa di Arked Mara Kajang dua tahun kemudian.
Beliau yang kini boleh dianggap ikon dalam dunia bisnes baju Melayu dan bertaraf jutawan berpindah ke bangunan baru di Jalan Reko di sini pada tahun 2016.
Kedai lama itu telah diubah suai sebagai butik pakaian wanita antara langkahnya untuk mengembangkan perkhidmatan Butik Dzulldeclassique pada masa akan datang. – MalaysiaGazette