Home Nasional Suasana hiba iringi pengebumian Nagaentharan

Suasana hiba iringi pengebumian Nagaentharan

Ibu Nagaentharan, S Panchalai menangis tidak berhenti sehingga pengsan melihat jasad anaknya.

IPOH – Suasana hiba dengan raungan dan tangisan sejak jasad mendiang Nagaentharan Dharmalingam tiba ke rumah keluarga di Tanjung Rambutan di sini lewat malam tadi sehinggalah dikebumikan petang tadi.

Ini kerana Nagaentharan yang merupakan seorang pemuda dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) kerana memiliki IQ serendah 69 namun menerima hukuman mati oleh mahkamah Singapura atas kesalahan menyeludup dadah.

Nagaenthran menjalani hukuman mati di Penjara Changi di Singapura pada awal pagi telah disemadikan dengan cara ritual Hindu di Krematorium Buntong kira-kira pukul 4 petang tadi.

Sekitar 200 orang termasuklah ahli keluarga, rakan-rakan, penduduk sekitar serta masyarakat awam telah hadir memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang yang rata-ratanya bersimpati dengan apa telah menimpa pemuda berusia 34 tahun itu.

Turut kelihatan media antarabangsa dan tempatan membanjiri rumah keluarga Nagaentharan sejak dua hari lepas kerana berita membabitkan mendiang turut mendapat perhatian antarabangsa dengan beberapa daripadanya telah juga telah bersuara mahu kerajaan membebaskan Nagaentharan.

Bagaimanapun MalaysiaGazette difahamkan, tidak ada ahli politik dari mana-mana parti seperti permintaan oleh ahli keluarganya yang mendakwa golongan itu tidak membantu Nagaentharan ketika diperlukan sebaliknya hanya muncul apabila kes itu menjadi perhatian umum.

Ibu kepada Nagaentharan yang sempat bertemu dengan anaknya semasa hidup buat kali terakhir selama dua jam selepas dibenarkan oleh mahkamah juga telah pengsan beebrapa kali kerana tidak mampu menahan kesedihan melihat mendiang hari ini.

Ketika di mahkamah pada Isnin lepas, Nagaentharan buat kali terakhir merayu agar dibenarkan untuk memegang tangan ibunya malah menangis memanggil ibunya.

Nagaentharan telah menjalani hukuman gantung atas kesalahan menyeludup dadah jenis heroin seberat 44 gram (g) memasuki Singapura yang melaksanakan antara hukuman terberat di dunia bagi kesalahan berkaitan dadah.

Suspek ditahan pihak berkuasa Singapura pada 22 April 2009 ketika berusia 21 tahun di Pusat Pemeriksaan Woodlands ketika melintasi sempadan Malaysia dan Singapura, dengan dadah itu didapati dilekatkan di paha kirinya.

Sepatutnya dia dihukum gantung pada 10 November 2021 namun pada saat akhir memperoleh penangguhan sementara pada 9 November selepas mahkamah diberitahu dia positif Covid-19, ketika hadir untuk percubaan rayuan terakhir terhadap hukuman matinya. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Nagaenthran sempat pakai baju kegemaran sebelum ke tali gantung