Home Nasional Terima kasih makcik Rokiah – Sultan Johor

Terima kasih makcik Rokiah – Sultan Johor

Makcik Rokiah Senin Sultan of Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar chicken rendang
Rokiah Senin

JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan penghargaan kepada Rokiah Senin di atas persembahan lauk rendang ayam kepada baginda untuk santapan berbuka puasa.

Rokiah dan keluarga merupakan antara mangsa ribut yang melanda Tanjung Sedili, Kota Tinggi pada Julai lalu yang menyebabkan kediaman mereka di Kampung Sentosa rosak teruk.

“Saya berterima kasih kepada Mak Cik Rokiah kerana menghantar lauk. Saya amat menghargai keikhlasannya, dan Alhamdulilllah sedap air tangannya.

“Jangan terhutang budi dengan saya, berterima kasih kepada kerajaan negeri yang prihatin kepada rakyat, saya sentiasa membantu rakyat saya yang memerlukan. Insya-Allah jika berkelapangan pada lain kali, saya singgah makan di rumah Mak Cik Rokiah,” titah Baginda Tuanku Sultan menerusi kenyataan yang dikeluarkan Royal Press Office (RPO), hari ini.

Sebelum ini, keluarga itu bersama 13 keluarga lain pernah menerima bantuan kos pembaikan rumah secara keseluruhan daripada Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).

Sementara itu Rokiah berkata, dia dan keluarganya amat bersyukur di atas kurniaan bantuan daripada YSIJ yang menyerikan lagi suasana Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.

“Saya sangat bersyukur, kerana daripada bencana yang menimpa kami, datang pula kurniaan bantuan daripada Tuanku Sultan yang menyinari semula kehidupan kami.

“Ketika baginda berangkat melawat rumah kami ketika bencana, saya amat segan sebab tidak dapat menghidang air kepada Tuanku. Justeru, saya menghantar lauk ini sebagai penghargaan dan kesyukuran saya diatas bantuan dikurniakan kepada saya dan keluarga,” katanya. – MalaysiaGazette