Home Nasional Perdana Menteri ucap takziah kepada keluarga Tengku Ahmad Rithauddeen

Perdana Menteri ucap takziah kepada keluarga Tengku Ahmad Rithauddeen

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan takziah ke atas pemergian bekas Menteri Pertahanan, Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail malam semalam.
Katanya, pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar buat negara.
“Mewakili Keluarga Malaysia, saya mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham dan mendoakan semoga mereka sabar serta tabah menghadapi dugaan ini.
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah swt dan ditempatkan bersama para solihin” katanya menerusi hantaran Fecebook, hari ini.

AllahyarhamAhmad Rithauddeen menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Jalan Duta, di sini, pada 8.43 malam semalam akibat sakit tua pada usia 94 tahun.

Menurut Perdana Menteri, Allahyarham bukan sahaja seorang tokoh yang berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan tetapi juga veteran UMNO yang sangat dihormati.
Tambah beliau, selain menjawat jawatan Menteri Pertahanan (1987-1990), antara jawatan lain yang pernah disandang oleh Allahyarham dalam kerajaan termasuk Menteri Hal-Ehwal Luar Negara, Menteri Perdagangan dan Industri serta Menteri Penerangan.
Dalam arena politik, Allahyarham yang dikenali sebagai Ku Deen pernah menjadi Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, ujarnya. – Malaysiagazette.