KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, cara dan pendekatan Mohd. Rafizi Ramli yang mahu ahli “memilih satu pihak” hanya akan memecah-belahkan parti.
Beliau berkata, keadaan itu akan membawa faktor tidak stabil, malahan membebankan PKR semasa menghadapi pilihan raya umum.
“Pemilihan parti bukannya untuk membangkitkan perbezaan pandangan tentang satu dasar parti yang utama dan bukannya sama ada anda sokong atau menentang strategi ‘khemah besar’ kerana cara ini jelas memecah-belahkan parti.
“Ini bukan sesuatu yang harus dibincangkan semasa pemilihan parti, yang harus dibincangkan adalah perpaduan parti yang dapat mengelakkan kesan negatif menjelang pilihan raya,” katanya dalam wawancara bersama China Press.
Tian Chua memilih untuk tidak mempertahankan jawatannya dalam pemilihan PKR akan datang tetapi mengulas pemilihan itu sebagai “orang luar.”
Tian Chua berkata, Mohd. Rafizi yang bertanding jawatan timbalan presiden membantah mekanisme dan hala tuju parti yang dibina selama ini.
Katanya, walaupun Mohd. Rafizi tidak berada dalam lingkungan pembuat keputusan parti, tetapi beliau memilih cara “pembesar suara” untuk membincangkan isu yang rumit.
“Keadaan yang diwujudkan ini hanya akan menyebabkan kucar-kacir,” katanya.
Dalam pada itu, Tian Chua berkata, beliau memilih untuk tidak bertanding kerana tidak mahu menghangatkan persaingan dalaman parti yang sudah sengit.
“Saya memegang jawatan naib presiden pada masa ini yang dilihat sebagai jawatan nombor dua dalam parti. Kalau mahu bertanding, maka saya harus bertanding timbalan presiden.
“Walau bagaimanapun, saya mahu memfokus kepada pilihan raya umum pada masa ini,” katanya. – MalaysiaGazette