KUALA LUMPUR – Bermula hari ini, pengembara yang ingin berlepas danĀ tiba di Malaysia tidak perlu lagi melakukan ujian Covid-19.
Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, protokol baharu berkenaan berkuatkuasa kepada pengembara berumur 17 tahun dan ke bawah tanpa mengira status vaksinasi.
Katanya, selain tidak perlu melakukan ujian, kuarantin juga tidak lagi diperlukan.
“Pengembara yang berusia 18 tahun ke atas dan telah lengkap menerima vaksin; pengembara yang mempunyai sejarah jangkitan Covid-19 dalam tempoh 6 ke 60 hari dari tarikh sembuh sebelum berlepas ke Malaysia tanpa mengira status vaksinasi dan kumpulan pengembara ini juga tidak perlu menjalani kuarantin,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Bagaimanapun Khairy berkata, pengembara berusia 18 tahun dan ke atas dengan status vaksinasi tidak lengkap atau belum menerima vaksinasi perlu melakukan ujian pra-pelepasan RT-PCR atau RTK-Ag Professional, dua hari sebelum berlepas ke Malaysia.
Dalam masa yang sama, ujian pengesanan juga perlu dilakukan dalam tempoh 24 jam selepas tiba menggunakan RTK antigen dan menjalani kuarantin wajib selama lima hari.
“Ujian ini boleh dilakukan dengan penyeliaan pengamal perubatan swasta yang berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) sama ada secara fizikal atau virtual.
“Dikehendaki menjalani RT-PCR pada hari keempat atau RTK antigen dengan penyeliaan pengamal perubatan swasta yang
berdaftar dengan MMC sama ada secara fizikal atau virtual pada hari kelima; dan pelepasan kuarantin pada hari ke-5 boleh diberikan jika keputusan ujian RT-PCR hari keempat atau RTK-Antigen hari kelima adalah NEGATIF,” katanya lagi.
Tambah Khairy, sekiranya keputusan pengujian Covid-19 adalah positif, pengembara akan diuruskan mengikut pengurusan kes sedia ada.
Sementara itu, Menteri Kesihatan itu berkata, mana-mana pengembara yang dikesan bergejala semasa berada di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) Negara akan diarahkan menjalani ujian saringan Covid-19 menggunakan RTK antigen dengan penyeliaan pengamal perubatan sama ada secara fizikal atau virtual.
“Semua pengembara masih perlu mengemukakan kad pengembara yang dipaparkan di dalam aplikasi MySejahtera semasa ketibaan di PMA,” tambah beliau.- MalaysiaGazette