KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengambil inisiatif menaiki perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) ke Masjid India, memandangkan lokasi itu masih sesak dibanjiri orang ramai yang membeli-beli sempena Aidilfitri.
Menerusi hantaran di Facebook miliknya, Tengku Zafrul berkata, pada mulanya beliau ingin menaiki kereta kerana menyangka membelah-belah saat akhir di kawasan tersebut tidak akan berlaku kesesakan seperti itu.
Namun jelasnya, sangkaannya meleset, kerana ternyata orang ramai ‘melepaskan dendam’ selepas dua tahun tidak meraikan Aidilfitri dengan sempurna, untuk ke lokasi tumpuan terbabit.
“Nak naik kereta pergi Masjid India jam, so kita naik train. Last minute shopping raya di sekitar Masjid India dan Lorong TAR semalam selepas ke KL Sentral.
“Crowdnya, MasyaAllah, nak bergerak pun susah. Memang semua orang lepas dendam beraya sakan tahun ni selepas dua tahun tak dapat beraya macam biasa,” tulisnya.
Tengku Zafrul berkata, walaupun keadaan sesak tapi keadaan dilihat masih terkawal dengan pemantauan pihak penguatkuasa.
Tambahnya, beliau sempat membeli beberapa barangan untuk anak bongsu dan isterinya termasuk kuih-muih sempena Aidilfitri ini.
“Kali ni saya beli butang baju Melayu Spiderman untuk anak bongsu saya Zayn, Baju Kedah untuk wife dan jajan buat kudap-kudapan masa raya nanti.
“Harga agak berpatutan jugak dekat sini, tapi para peniaga cakap satu hari sebelum raya akan ada lagi diskaun habis-habisan. So siapa yang belum habis shopping boleh survey kat sini.⠀⠀
⠀⠀
“Sempat jugak bersembang dengan peniaga dan pengunjung, serta penguat kuasa yang memantau operasi bazaar.
“Alhamdulillah, operasi nampak tersusun dan terkawal. Para peniaga dan pengunjung pun semuanya happy. Harapan saya, mood gembira ini akan diteruskan sehingga hari raya nanti, InsyaAllah,” katanya. – MalaysiaGazette