KUALA LUMPUR- Pengerusi Jawatankuasa Perubatan dan Antidoping Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Dr SS Cheema mempersoalkan mengapa atlet berbasikal negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang tidak dinasihatkan untuk menjalani saringan pengimejan resonans magnetik (MRI) oleh pakar perubatan.
Dr Cheema berkata tiada tindakan diambil meskipun terdapat aduan tentang beberapa simptom berkaitan jantung oleh atlet berbasikal itu.
“Ini kerana pada peringkat anda, seorang atlet berprestasi tinggi, mengadu mengenai simptom-simptom biasa seperti berasa mengantuk, kesakitan (pada dada) adalah agak biasa, tetapi tiada seorang pun yang mengambil tindakan lanjut.
Jika imbasan CT dilakukan dengan baik, kondisi itu sepatutnya dapat dikesan,” ulas beliau semasa sidang media secara dalam talian mengenai situasi kesihatan Mohd Azizulhasni, semalam.
Mohd Azizulhasni, 34, mengumumkan bahawa beliau semakin pulih selepas menjalani pembedahan jantung terbuka bagi kondisi jantung jarang jumpa dikenali sebagai arteri koronari kanan yang menyalur dari aorta di posisi yang janggal/ganjil (AAORCA) di Hospital Epworth Richmond, Melbourne pada 21 April lepas.
Penyakit berbahaya itu membawa risiko serangan jantung dan kematian mengejut jika tidak dirawat segera.
Sementara itu, Mohd Azizulhasni menjelaskan kondisi kesihatannya itu hanya boleh dikesan menerusi ujian canggih dan ujian elektrokardiogram (ECG), ekokardiogram dan angiogram koronari CT beliau terdahulu gagal mengesan masalah tersebut.
“Saya sangat bertuah kerana selepas itu saya melakukan MRI yang mengesan penyakit tersebut.
Saya ketika itu sangat sihat, tidak mempunyai sebarang isu jantung, saya menyertai pertandingan dan menjalani latihan, tetapi saya cuma rasa tidak selesa pada dada, jadi saya fikir ia adalah normal untuk seorang atlet kerana kami melakukan latihan peringkat tinggi.
Saya ingin menasihatkan semua, sama ada individu biasa atau seorang atlet, kita semua perlu melakukan saringan kesihatan penuh bagi memastikan kita tidak mempunyai isu lain.
“Saya rasa ia sangat penting untuk semua atlet melakukan pemeriksaan lengkap bagi memastikan mereka tidak mempunyai penyakit jarang jumpa ini kerana manalah tahu sekiranya kita ada penyakit ini,” tambahnya.
Dalam pada itu, laman media sosial atlet Olimpik itu dibanjiri pesanan daripada para peminat dan mereka yang mendoakan beliau.
Pada sambutan Aidilfitri tahun lepas, arena sukan Malaysia dikejutkan dengan kematian mengejut pemanah kebangsaan Haziq Kamaruddin yang disahkan oleh Kementerian Kesihatan akibat komplikasi saluran darah jantung tersumbat.
BERNAMA