KUANTAN – Dua sahabat masing-masing berusia 18 tahun menemui ajal ketika dalam perjalanan pergi beraya selepas motosikal dinaiki mereka hilang kawalan dan bertembung dengan sebuah trak pikap di Kilometer 23 Jalan Pekan – Batu Balik, Pekan pada petang 1 Syawal semalam.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zain berkata, kedua-dua lelaki berkenaan, Muhammad Nur Zulkefli Zakaria dan Muhammad Ibrahim Mhd Kchairudin meninggal di tempat kejadian akibat kecederaan serius.
“Kejadian kemalangan maut pada 2 Mei 2022 pukul 5.30 petang tadi melibatkan sebuah motosikal dan kenderaan pikap Kilometer 23 Jalan Pekan-Batu Balik di Pekan.
“Setibanya di lokasi kejadian ketika mengambil selekoh ke kiri, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai telah hilang kawalan.
“Kemudian kenderaan tersebut terbabas masuk ke laluan bertentangan iaitu laluan dari arah Batu Balik menghala ke Pekan lalu bertembung dengan trak pikap yang datang dari arah bertentangan,” katanya ketika dihubungi malam tadi.
Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca dari kecuaian penunggang motosikal yang disyaki memandu secara melulu dan merbahaya.
Jenazah kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Pekan dan proses bedah siasat dijalankan sejurus ujian calitan Covid-19 diperoleh dan kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette