Home Nasional Mangsa kedua letupan mercun Permatang Badak meninggal dunia

Mangsa kedua letupan mercun Permatang Badak meninggal dunia

Gambar Allahyarham Mohd Azuan Kapili bersama keluarganya.

KUANTAN – Mangsa kedua letupan mercun di Permatang Badak, Kuantan baru-baru ini menghembuskan nafas terakhir jam 3.50 petang tadi.

Mangsa yang melecur 90 peratus meninggal dunia selepas bertarung nyawa selama enam hari di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan.

Mangsa, Mohd Azuan Kapili, 35, seorang seorang tukang gunting yang menetap tinggal di Taman Tas, Kuantan telah berkunjung ke rumah kawannya pada malam kejadian.

Difahamkan, sebelum keluar rumah pada malam kejadian, mangsa menggenggam tangan isterinya dan mengajak menemani ke rumah sahabatnya itu namun ditolak oleh isterinya kerana anak-anak sudah tidur.

MalaysiaGazette ketika menghubungi kakak ipar mangsa, Ayu Mohd Rashid dimaklumkan isteri serta keluarga mangsa masih lagi bersedih dengan tragedi yang berlaku namun redha atas ketentuanNya apabila menerima dugaan kematian Azuan.

Apatah lagi, mengenangkan mangsa yang begitu teringin bersahur ikan patin pada malam kejadian.

“Allahyarham sempat memesan supaya isterinya untuk menyimpan kepala ikan patin untuk dimakan pada waktu sahur.

“Arwah juga berjanji kepada isterinya untuk melungkan masa untuk membuat persiapan akhir membeli baju raya anak-anak,” kongsi Ayu.

Tambahnya, isteri mangsa cukup pelik kerana suaminya tidak pulang dan sama sekali tidak menyangka suaminya salah satu mangsa letupan.

Bahkan isterinya sempat memberi komen dalam laman Facebook apabila insiden itu tular,” katanya.

Dalam insiden yang berlaku jam 3.15 pagi itu, mangsa tercampak dan sempat meminta tolong walaupun melecur teruk pada bahagian badan, mata dan kakinya juga patah.

Mangsa meninggalkan seorang balu, Nomariana Hamid serta dua anak lelaki dan anak perempuan.

Manakala dua mangsa letupan masih lagi dirawat di ICU manakala seorang lagi sudah dipindahkan wad biasa.

Keluarga mangsa memaklumkan jenazah dijangka dikebumikan malam ini di Tanah Perkuburan Islam Batu 8, Kuantan.

Tragedi yang melibatkan sembilan mangsa turut mengakibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun ditemui rentung.

Kejadian itu turut memusnahkan dua rumah semi D dan tiga kenderaan terbakar. – MalaysiaGazette