IPOH – Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu optimis sasaran 36 pingat emas di Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam mampu direalisasikan.
Bercakap kepada pemberita di sini beliau berkata, dengan semangat juang yang tinggi para atlet negara, kontinjen negara mampu menuai lebih daripada sasaran yang ditetapkan.
“Acara biasa yang atlet Malaysia beri tumpuan di negara kita tidak lagi dipertandingkan menyebabkan kita tidak meletakkan sasaran yang tinggi buat atlet kita.
Sasaran Malaysia pada temasya sukan dwitahunan itu adalah 36 emas, 35 perak dan 75 gangsa dengan jumlah keseluruhan 146 pingat.
Ahmad Faizal turut menghargai pengorbanan dan semangat juang tinggi yang ditunjukan oleh kira-kira 584 atlet negara yang tetap menjalani latihan sesi malam ketika Ramadan.
“Mereka tetap memberi tumpuan untuk memberi persembahan yang terbaik di Sukan SEA walaupun perlu mengorbankan sambutan perayaan bersama sanak-saudara,” katanya.
Berdasarkan prestasi semasa, 15 jenis sukan disasar menjadi penyumbang 36 pingat emas dengan terjun dan olahraga dianggap lubuk emas negara apabila berupaya menyumbang lebih lima emas pada temasya kali ini yang dijadual berlangsung dari 12 hingga 23 Mei.
Pencapaian terbaik Malaysia dalam sejarah penyertaan Sukan SEA adalah 145 emas, 92 perak dan 86 gangsa untuk muncul juara edisi 2017 di Kuala Lumpur.
Pada edisi 2019 di Filipina, kontinjen negara gagal menepati sasaran 70 pingat emas ditetapkan apabila hanya membawa pulang 55 emas, 58 perak dan 71 gangsa. – MalaysiaGazette