Home Utama Air laut bertukar hitam, 300 nelayan hilang mata pencarian

Air laut bertukar hitam, 300 nelayan hilang mata pencarian

Warna air laut di pantai Teluk Kumbar bertukar warna hitam akibat pencemaran yang dipercayai berpunca daripada pembuangan sampah sarap.

BALIK PULAU – Kira-kira 300 nelayan pantai di Teluk Kumbar di sini, berdepan situasi hilang mata pencarian susulan pencemaran laut semakin serius di perairan itu ketika ini.

Rata-rata nelayan mendakwa pencemaran itu berlaku sejak lima tahun lalu hingga menyebabkan ikan, ketam, udang, kerang serta siput yang menjadi sumber tangkapan utama mereka diancam kepupusan.

Nelayan, Bakri Bakar, 56, berkata, pendapatan nelayan di sini semakin berkurang sejak pencemaran itu berlaku namun tiada tindakan dibuat sehingga kini walaupun pelbagai aduan disuarakan kepada pihak bertanggungjawab sejak lima tahun lalu.

Bakri.

Dia mendakwa, bahan kotoran telah dibuang ke dalam sungai sebelum ia mengalir terus ke laut hingga mengakibatkan airnya bertukar warna menjadi hitam.

“Tidak cukup dengan itu, perairan 100 meter dari pantai Teluk Kumbar turut tercemar dengan sisa kotoran dan sampah sarap.

“Bahan itu terdampar di tepi pantai dibawa arus menyebabkan kawasan tersebut berbau busuk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pencemaran berlaku dari air sungai hingga ke laut.

Sementara itu, Presiden, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata,  tinjauan pihaknya mendapati pencemaran itu berlaku disebabkan pembuangan sisa kotoran daripada penduduk di beberapa buah kampung dan taman perumahan di kawasan tersebut.

“CAP bimbang dengan kejadian itu dan jika dibiarkan sungai serta laut di sini akan tercemar dengan lebih serius lagi pada masa akan datang.

“Para nelayan yang bergantung hidup kepada hasil tangkapan di kawasan tersebut akan kehilangan sumber pendapatan untuk menyara kehidupan mereka.

“Justeru, CAP menggesa kerajaan Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menjalankan siasatan secara menyeluruh punca kejadian itu dan mengambil tindakan segera bagi mengatasinya,” katanya.

Sisa kotoran serta sampah sarap terdampar di pantai Teluk Kumbar.

Mohideen juga menggesa pihak berkenaan mendedahkan hasil siasatan yang dibuat serta tindakan yang diambil.

“Kita harap isu ini dapat diselesaikan secepat mungkin agar nelayan yang terlibat dapat kembali meneruskan kehidupan mereka seperti biasa,” tegas beliau. – MalaysiaGazette