Home Ekonomi Industri sarung tangan getah negara masih mampu berkembang – Zuraida

Industri sarung tangan getah negara masih mampu berkembang – Zuraida

Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi akan melakukan segala yang mampu untuk membantu pengeluar tempatan untuk mendapatkan pasaran baharu dan melebarkan sayap kepada sektor bukan perubatan.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, kementerian sentiasa bekerjasama rapat dengan pemain industri tempatan dan akan memastikan industri sarung tangan getah tempatan negara akan terus berkembang maju.

Menurutnya, penyusutan ketara harga sarung tangan di Bursa Malaysia adalah rahsia terbuka sejak pertengahan tahun lalu.

Ini adalah kerana pengeluar sarung tangan yang terdiri daripada empat syarikat besar serta pengeluar lain yang lebih kecil sedang bergelut untuk menormalasisikan harga jualan purata (ASP).

Harga semakin menghampiri tahap pra-pandemik walaupun landskap operasi semakin kompetitif kerana kos bahan mentah semakin naik, terdapat kekangan tenaga kerja, cabaran logistik dan tekanan inflasi dan situasi ini tidak dapat dielakkan melainkan kos pengeluaran yang lebih tinggi ini diturunkan kepada pengguna akhir.

”Walaupun ia menyakitkan, kita harus menerima hakikat bahawa ia tidak lagi mungkin untuk setiap stok sarung tangan yang disentuh untuk bertukar menjadi emas seperti yang berlaku pada kemuncak pandemik Covid-19 pada tahun 2020.

”Senario semasa kemuncak pandemik telah mendorong pertumbuhan industri ini dengan pemain baru tetapi ini tidak mungkin berulang terutamanya apabila dunia beransur-ansur beralih ke fasa endemik.

“Walaupun begitu, kita tidak boleh berdiam diri dan membiarkan peluang yang terdapat untuk berlalu begitu sahaja. Kita perlu menjadi kreatif untuk meneroka cara dan kaedah baru untuk menjadikan industri sarung tangan ini berkembang semula dan
mencatatkan keuntungan walaupun bukan pada kadar apabila permintaan melonjak naik dan ASP mencapai paras rekod tertinggi,” katanya dalam kenyataan di sini,

Sehubungan itu, Zuraida berkata, langkah Pertubuhan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) untuk memandang industri bukan perubatan sebagai pemacu permintaan masa depan bagi sarung tangan gred bukan perubatan adalah tepat.

Pembukaan semula sempadan Malaysia sejak April 1 juga akan merangsang pemulihan ekonomi dengan kesan limpahan ke atas sektor-sektor seperti pelancongan, pembuatan dan makanan dan minuman (F&B).

”Memetik Presiden MARGMA Dr Supramaniam Shanmugam, pembuat sarung tangan juga sedar bahawa terdapat industri yang sangat memerlukan sarung tangan tetapi langkah ke arah ini tidak diutamakan pada masa ini.

”Sebaliknya, pengeluar sarung tangan kini patut menukar fokus mereka dengan bekerjasama dengan industri ini dan menjadikan mereka sebagai pelanggan memandangkan wabak ini telah mencetuskan kesedaran tentang kepentingan kebersihan untuk mencegah pencemaran atau membendung penularan penyakit,” ujar beliau.

Zuraida menambah, sarung tangan pakai buang yang bergred bukan perubatan terdapat dalam pelbagai saiz, warna, ketebalan dan tekstur.

Aplikasinya juga wujud dalam pelbagai perniagaan seperti dalam bisnes tatu, makmal dan pusat jagaan kanak-kanak.

Walaupun industri F&B merupakan pengguna sarung tangan dengan permintaan yang terhad, lapan hingga 10 tahun yang lalu ini telah menyaksikan peningkatan tahap kesedaran dengan pemain industri dan pengguna sama-sama menyedari hakikat
bahawa pengendalian makanan berkisar pada tahap kebersihan.

Sarung tangan juga digunakan dalam industri elektronik semikonduktor untuk melindungi komponen elektrik atau elektronik daripada pencemaran. – MalaysiaGazette